SURAT UNTUK KAMU~Jadilah Pemuda Hebat~

26 08 2014

surat untuk kamu

Bismillahirrahmanirrahim.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Buat kamu yang berbeza dariku. Berbeza segalanya. Berbeza jantina, berbeza fizikal, mental, latar belakang keluarga,taraf hidup, pandangan, matlamat, cita-cita, hobi dan entah berapa banyak lagi perbezaannya. Bukan tentang perbezaan sebab aku menulis di sini. Aku mensyukuri nikmat Allah yang menjadikan kita berbeza. Subhanallah.

Aku menulis surat untuk kamu bukan untuk memberitahu tapi untuk mencetus mahu. Bukan untuk mengajar, tapi supaya mengambil sesuatu untuk dipelajari. Maaf saja aku pohonkan andai surat untuk kamu ini bakal mencetus sesuatu yang kurang enak di hati kamu.

Maaf atas segala pengakuan jujurku yang mungkin kamu rasa kurang selesa mendengarnya. Aku jujur demi hubungan baik kita dengan Allah. Aku juga mahukan yang terbaik untuk kamu. Aku mahu kamu menjadi hamba yang di sayangi Allah. Menjadi hamba Allah yang kuat menahan ujian. Aku berdoa agar Allah menunjuk jalan untuk kamu, untuk kita. Agar DIA memimpin kita ke Jalan Yang DiredhaiNYA. Ayuh! Bangkitlah ! Jadilah pemuda yang hebat. Yang kental jiwanya. Yang kuat menahan ujian. Burulah ilmu sebanyak-banyaknya. Mintalah pertolongan dari Allah. Kamu akan dapati bahawa DIA sangat dekat dengan kamu. Ber’dating’ lah denganNYA di satu pertiga malam terakhir. Rendahkanlah egomu. Menangislah! Mengadulah segalanya pada DIA. Jangan pernah malu untuk mengaku salah di hadapan Allah.

Nabi S.a.w bersabda yang maksudnya; “Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.” [Hadits Riwayat Abu Naim]

“Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah S.w.t selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah S.w.t dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah S.w.t dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” [Hadits riwayat at-Tirmidzi]

Pernah suatu ketika, Rasulullah S.a.w berjalan melalui sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.” [Hadits Riwayat Bukhari, dari Abu Hurairah]

Allah telah berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud “ Sesiapa yang melakukan kebaikan, maka dia mendapat sepuluh kali ganda kebaikan yang dilakukan dan ditambah lagi kebaikan itu. Sebaliknya sesiapa yang melakukan keburukan, maka balasannya ialah keburukan yang semisalnya atau Aku ampunkan dia. Sesiapa yang mendekati Aku sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Sesiapa yang mendekati Aku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya satu depa. Sesiapa yang datang kepada-KU dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari. Sesiapa yang datang menemui Aku dengan dosa sepenuh bumi tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatupun,maka Aku menemuinya dengan kadar pengampunan yang sama!” ( Riwayat Muslim)

Aku sangat yakin kiranya kamu boleh jadi pemuda yang hebat! Bahkan setiap orang berpotensi untuk jadi hebat! Bukan setakat hebat dalam urusan dunia, namun hebat memburu cinta Allah dengan amalan-amalan soleh. InsyaAllah. Doaku sentiasa ada untuk kamu.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Tujuh orang yang akan dinaungi Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya: Seorang pemimpin yang adil,Seorang pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadah kepada Allah,Seorang yang hatinya selalu terpaut dengan masjidDua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana AllahLelaki yang diajak seorang wanita yang cantik dan terpandang untuk berzina lantas ia berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah”Seorang yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannyaSeorang yang berzikir kepada Allah seorang diri hingga menitis air matanya.”

( Hadis riwayat bukhari, abu dawud dan ibnu majah )

Wahai pemudaku, kawallah nafsumu. Allah menciptakan manusia dengan fitrahnya ingin hidup berpasangan. Sedangkan Adam yang hidup di syurga dengan segala kenikmatan juga berasa sunyi,hinggalah Allah menciptakan Hawa di sisinya. Perasaan pada manusia lainnya bukan dosa. Ia fitrah kejadian manusia. Allah meraikan perasaan manusia terhadap yang lain jenisnya. Dan kerana itu Allah mensyariatkan perkahwinan. Namun , bagi mereka yang masih belum mampu, Allah memberikan garis panduan bagaimana untuk menguruskannya iaitu dengan banyakkan berpuasa. Tundukkan pandangan dan jagalah kehormatan. Tambahkan ilmu pengetahuan.

 Rasulullah bersabda, bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat).” – (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).

Pemudaku, semakin banyak kemanisan yang kita kutip sebelum perkahwinan, maka sebanyak itu jugalah kemanisan yang akan ditarik oleh Allah selepas berumahtangga kelak. Mahukah kita hanya bahagia sementara? Walau siapa pun jodoh kita, kebahagian selepas berumahtanggalah yang sering kita dambakan. Bahagia hingga ke syurga~selamat menjadi pemuda hebat!.

 

 

 





Aku Bukan Malaikat..

14 06 2014

sins

Bismillahirrahmanirrahim… segala pujian hanya layak bagi Allah..Tuhan Semesta Alam. Tuhan yang mempunyai Kebesaran Dan Kemuliaan. Dia yang Maha Indah dan menciptakan setiap keindahan.. kepadaMU Allah..Tuhanku, aku berdoa dengan sepenuh pengharapan.. perindahkanlah akhlakku seperti mana Engkau perindahkan kejadianku.
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan Mulia, kekasih yang kami rindui saban hari..tidak sabar untuk bertemumu Rasulullah SAW…doaku agar mulutku tidak kering berselawat ke atasmu..tidak jemu mencontohi akhlakmu..
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Hari ini Jumaat bersamaan 15 Sya’ban 1435 H. Aku terjaga selepas azan subuh, terkejut, sedih,menyesal…dan berbagai-bagai lagi perasaan. Apa yang pasti, aku sedih dan kecewa dengan diri aku! Aku gagal lagi untuk bangun di 1/3 malam terakhir, sedang jam di handphone telah aku setkan. Aku terdiam dan berfikir..barangkali ini adalah kerana dosa-dosa yang telah aku lakukan, dan aku pandang remeh tentangnya.

Sejak akhir-akhir ini aku memang jarang dapat bangun malam. Barangkali Allah marah kepadaku, dan kerana itu DIA tidak mengizinkan aku bertemuNYA saat aku sedang terlalai. Aku menyesal dan bertaubat Ya Allah.. aku rela hilang segalanya, namun aku tak boleh hilang cintaku padaMU Ya Allah.. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana rasanya bila Engkau Jauh dariku. Aku tak punya sesiapa dan tak punya apa-apa.. keluarga?? Mereka itu dipinjamkan olehmu..sampai saatnya mereka akan pergi dariku, atau aku yang pergi meninggalkan mereka.. segala harta ini juga barangkali akan hilang dan pergi dariku.. yang aku ada hanya Engkau tempat aku mengadu. Lalu…jika aku jauh darimu, apa lagi yang ada tinggal untukku? Ya Allah..jangan biar aku jauh darimu..jangan biar aku hilang kebergantungan kepadaMU..jangan biar aku terleka dengan duniaku.

Aku renung ke dalam diri..
Apa sebab aku jadi begini..
Barangkali kealpaanku dalam menjaga hubungan sesama insani..
1 janji yang kini telah aku mungkiri..
Aku melihat lagi…
Lalu aku terlanjur persoalkan mengapa Tuhan izinkan aku begini?
Aku terlupa…aku bukan malaikat!
Yang imannya sering meningkat..
Aku manusia..
Imanku bertambah dan berkurang..
Kerana itu Allah ciptakan syurga dan neraka..
Syurga itu pagarnya apa yang dibenci nafsu,
kerana itu ianya sukar ditembusi
Hanya mereka yang layak sahaja mampu mengharungi..
Dan kini aku diuji lagi..
Aku sudah jauh denganMu Tuhan..
Bilamana aku sudah berani mengadu
takut,sakit,sedih dan gembiraku pada manusia,
Sesuatu yang tidak aku lakukan ketika dulu,
Kerana dulu aku hanya mengadu kepadaMU

Buat insan yang kupanggil ‘adik’…maaf..walau antara kita berbeza usia..namun, kita bukan lagi anak kecil yang kalau suatu ketika dulu pergaulannya tidak ada batasan dan tidak dikira kesalahan..sewaktu kecil, kita masing-masing bebas berkawan lelaki dan perempuan, bertepuk tampar, barangkali berpegangan tangan ketika bermain ‘pukul lalat’, ‘datuk harimau’, polis sentry, nyorok-nyorok, saling bantu memanjat pokok, ataupun bergandingan bahu ketika berjalan.
Namun ketika ini, kita masing-masing telah menginjak usia dewasa. Seharusnya pergaulan ini lebih terjaga.. maaf aku katakan..

jarak

Biarlah aku (kakak) hadkan pergaulan ini hanyalah sebatas rakan sekerja. Teringat aku pada kata-kata Syeikh Nuruddin al-Banjari dalam slot Topik Jumaat di Radio IKIM F.M, “secanggih mana teknologi kini, secanggih itu jugalah maksiat yang akan dilakukan”. Aku sangat takut jika aku salah seorang yang terjebak di dalamnya. Pastinya ada yang memikirkan bahawa aku faham agama, tak kan aku akan terlibat? Tak kan aku tidak dapat bezakan?tak kan..tak kan dan entah berapa banyak “tak kan” lagi.. Satu yang aku pasti, aku bukan malaikat! Sebab itu aku lebih suka mengambil jalan “Saddu al zara’i’ “ salah satu kaedah dalam ilmu Usul Fiqh yang mana bermaksud mencegah atau menyekat jalan yang membawa kepada kerosakan. Memang terlalu banyak dan panjang lebar perbincangan ulama’ dalam perkara Saddu al Zara’i’ ini. Seandainya hubungan pergaulan tersebut dibimbangi akan membawa kepada kelalaian, kemaksiatan dan sebagainya sebaiknya hendaklah dijauhi dan dipelihara.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai hubungan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (asing/bukan mahram). Ada ulama’ yang menyatakan bahawa asalnya adalah haram/ditegah. Manakala sebahagian ulama’ menyatakan ianya harus. Namun hukum tersebut boleh bertukar mengikut situasi, keadaan dan tujuan. Islam juga tidak pernah menyekat pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam banyak keadaan. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Muasyirah, Jilid 2 menyebutkan :

“Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak.. Dan wajib patuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab”.

“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang terlalu ketat.”

Antara perkara yang boleh kita amalkan seperti mana yang digariskan dalam dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.
2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.
3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).
4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.
6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Buat kamu yang memanggilku dengan panggilan ‘kakak’…aku sangat takut sebenarnya kalau hatiku berubah. Kalau aku mengajakmu terlalai dengan gurauan senda yang tidak aku sengajakan. Bahkan jika aku sampai menghadkan pergaulan ini hanya sekadar bertanyakn perihal agama, aku takut jika aku masih termasuk seperti dalam ayat Al-Quran dari surah As-Saff yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”. QS. Al-Saff: 2

“(itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan” QS. As-Saff:3

Aku juga masih sedang mencari cinta Allah.. aku mohon ampun Ya Allah kiranya aku kini masih belum benar-benar mengenalMU..

******************************************************************
Doa & Permintaan

Semalam,aku mendengar bicara Ustazah Norhafizah Musa di Radio IKIM F.M tentang DOA BUAT KEKASIH..

Benarkah selama ini kita telah berdoa kepada Allah? Atau kita sebenarnya hanya sekadar ‘meminta’..? Doa dan permintaan adalah dua benda yang berbeza. DOA adalah kerja hati dan PERMINTAAN hanyalah sebatas kerja lisan (lidah). Ini bermakna, ketika kita berdoa, kita meminta dengan bersunguh-sungguhn..sepenuh hati. Itu barangkali terjadi ketika kita benar-benar mengharapkan sesuatu dari Allah, tetapi apabila Allah telah mengabulkan permintaan kita, kita hanya berdoa sambil lewa. Terucap di bibir namun tidak sampai ke hati. Ketika itu kita bukan lagi berdoa, tetapi ‘meminta’. Betapa banyak kejahilan yang kita lakukan saban hari.
******************************************************************
Insan yang bergelar ‘adik’…kadangkala kakak terfikir, perkara ini mungkin akan mengundang salah faham pada pihak kamu. Serba salah aku jadinya. Sebolehnya aku ingin menjaga hati.
Namun teringat pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa mencari keredhaan Allah dengan marahnya manusia, nescaya dia dicukupkan oleh Allah dari perbelanjaan manusia dan Barang siapa mencari keredhaan manusia dengan kemarahan Allah nescaya dia akan diserahkan oleh Allah kepada manusia.”

Biar apa sekalipun tanggapan kamu pada aku, yang pasti aku ingin kita bersama ke syurga.

bila kesilapan semalam kini aku ulangi,
dan taubatku tidak aku tepati,
aku sudah tidak percaya pada diriku lagi,
1 tindakan drastik harus aku mulai,
Menghidupkan kembali butang strategi 3 P,
PAUSE, PRIORITY dan PERGI…
Kini harapanku hanya padaMu Rabbi,
Kerana Engkaulah Yang Maha Mengetahui,
Cukuplah Engkau bagiku,
Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dariMU.

Aku buka lembaran Kitab Suci, dan kubaca ayat-ayat dari Surah Al-Kahfi. Surah yang dimulai dengan Kisah para pemuda Ashabul Kahfi yang pergi berlindung ke dalam gua bagi menjaga dan mempertahan keimanan mereka. Ya! Apabila kita tidak mampu berhadapan dengan ujian yang boleh menggoncangkan iman, salah satu jalannya adalah dengan menghindari.. pergi jauh dari ujian itu.
Kemudian, pada ayat ke 32, bersambung pula dengan kisah 2 orang lelaki yang mana salah seorangnya dikurniakan Allah dengan nikmat yang melimpah ruah. 2 kebun yang subur, terdapat sungai yang mengalir diantara keduanya, anak-anak dan pengikut yang ramai, namun menzalimi diri sendiri dengan tidak bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Sedang temannya yang seorang lagi kekurangan harta tetapi sangat menghargai nikmat Tuhannya. Akhirnya kebun lelaki yang sombong tersebut dimusnahkan oleh Allah lalu menjadilah dia seorang yang berputus asa.
Aku sangat takut, sekiranya aku termasuk di kalangan kelompok lelaki yang pertama. Menjadi hambaNYA yang tidak bersyukur…

Dalam ayat 45 Allah memberi perumpaan kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang diturunkan dari langit lalu tumbuhan di bumi menjadi subur kerananya. Kemudian tumbuhan tersebut menjadi kering lalu diterbangkan oleh angin. Kalau itulah keadaanya, kehidupan dunia ini sangatlah pendek. Jadi mengapa kita bazirkan masa yang kita ada dengan sesuatu yang kurang penting kan?

Hatiku semakin gementar bila ayat 49 aku baca maksudnya “ dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata:”Aduhai celaka kami,kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya. Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.”

Kalau aku mengira amalku telah banyak, namun bagaimana jika sampai saatnya aku berdiri di hadapan Allah, dan Allah mengatakan bahawa ianya kosong! Gelaplah mataku..Lalu ketika itu adakah aku boleh meminta untuk dikembalikan ke dunia? Mustahil… Nauzubillah.. aku berlindung diri denganMu Ya Allah dari perkara itu terjadi keatasku.





Tuhan Sedang Mendidik… (^_^)

7 06 2013

Imej

 

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]

 

Alhamdulillah wa syukru lillah…puji pujian buat Tuhan Semesta Alam..Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW,kaum kerabat baginda,para sahabat serta yang mengikut keseluruhannya..

     Petang Jumaat 7 jun 2013, sekali lagi Allah menguji… kiriman pos berdaftar dokumen penting dari Perak yang amat ditunggu-tunggu masih belum tiba,sedangkan esok(sabtu) pejabat pos tutup,dan ahad mahu pulang semula ke Perak… setelah dua tiga panggilan yang diterima dari petugas pos kawasanku memaklumkan yang dokumenku mungkin akan sampai pada hari isnin,aku mula terdiam..berfikir… dari tadi aku cuba menghubungi pejabat pos utama di bandar untuk menjejaki di mana lokasi sebenar dokumenku sekarang masih belum berjaya…tidak cukup dengan tu aku cuba hubungi talian hotline Pos Malaysia,namun ternyata suara operator yang menjawab mengecewakan..puas bermacam cara aku cuba termasuk track n trace secara online,namun yang kelihatan hanya lokasi dokumen tersebut mula diterima sahaja… ujian apakah ini…?Aku cemas memikirkan kalau benar dokumen tersebut sampai pada hari isnin di Pahang,ini bermakna sia-sia sahajalah ia di pos dari Perak untuk mempercepatkan urusan,sebaliknya urusan makin jadi lama..mungkin ibuku perlu pos kembali dokumen itu padaku.. hem satu tindakan yang sia-sia aku kira…makan duit dan masa… sedangkan aku kini bekejar-kejar dengan masa dokumen tersebut harus di selesaikan…

     Sedikit demi sedikit kesabaranku mulai hilang dan di saat syaitan sudah mula memainkan peranannya, aku mula teringat kembali kata-kata Ustaz Ebit Lew di Radio IKIM ketika slot Islam Itu Indah pada minggu lepas…beliau menceritakan suatu ketika ujian yang besar menimpa diri dan keluarganya hingga kesabaran sudah tipis dan kemudian isterinya berkata “ Rahmat apa yang akan mereka terima daripada Allah sebenarnya ni” Habib Jewels ke… (nada bergurau)… dan kemudian beliau mengajak kita berfikir, apabila datang satu ujian,fikirkan bahawa “ada Rahmat besar sebenarnya yang akan datang pada kita” kerana Allah tu kan Maha Penyayang, bila sesuatu hilang dari kita,DIA akan menggantikannya dengan sesuatu yang jauh lebih baik…bersangka baiklah dengan Allah…

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]

Dengan kuasa dan rahmat Allah,perasaan resah,gelisah,marah dan perasaan-perasaan buruk dari syaitan tadi beransur pergi…kesabaran yang tadinya mulai hilang datang kembali..alhamdulillah… aku mula terfikir Rahmat apa lah yang Allah nak bagi sebenarnya ni..? betapa Maha Pengasihnya DIA, bukankah aku sering berdoa supaya menjadi hamba yang lebih hampir denganNYA..? bukankah aku sering meminta agar Allah tidak membiarkan aku jauh dariNYA? Bukankah aku sering meminta kasih sayangnya… orang yang disayangi Allah,hampir denganNYA itu kan sering di uji? Allah berhak untuk menguji sejauh mana kebenara kata-kata kita,bahawa kita ingin jadi hamba yang sentiasa mentaatiNYA,hamba yang sentiasa mensyukuriNYA, hamba yang sabar dan redha dengan setiap ketentuanNYA… ya..! mengingatkan kembali semuanya, hilang terus peraaan-perasaan tidak enakku di awal tadi… rasa malu dengan Allah mula menjelma…Astaghfirullahal3azim.. terima kasih Ya Allah di atas ‘teguran’ kecil ini… ya! Allah Sedang Mendidik… 

Dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda; (yang bermaksud)

 

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Imej

 





Pencarian…

30 05 2013

Imej

Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang… Tuhan Yang Maha Esa, Tiada Tuhan Selain Dia, Dialah Yang Maha Hidup dan Berdiri Dengan Sendirinya. Tuhan Yang Mentadbirkan alam ini, langit,bumi dan diantara keduannya dengan penuh teratur…Tuhan yang Membuahkan rasa cinta dan rindu dalam jiwa hambaNYA…Ya Tuhanku suburkanlah cinta dan rindu ini hanya untukMU.. Selawat Dan Salam buat Nabi Junjungan Mulia, Muhammad SAW…Rasul yang Ummi…Bepekerti Mulia lagi Terpuji… yang mempunyai sebutan nama yang harum di Langit dan di Bumi…

Ya Tuhanku,izinkan aku menulis sedikit kisahku. Semoga ada antaranya yang berguna pada insan lain atau setidaknya ia mengingatkan aku kembali tika aku terlupa…

Usai solat zohor tadi, tiba-tiba meluncur di benakku, bahawa barangkali apa yang aku lakukan tika ini juga ada kesilapannya. Aku ingin mencari keredhaan Tuhan dengan melengkapkan separuh imanku melalui jalan pernikahan. Sebuah niat yang suci,tapi jalan menujunya juga harus suci. Fakhruddin,insan yang ku minta bantuannya adalah lelaki. InsyaaAllah dia lelaki yang baik. Mustahil aku mulakan niat suci, pencarian mencari calon imamku dimulai dengan sesuatu yang tidak disukai Tuhanku…aku minta pertolongan dari seorang lelaki yang tidak halal buatku.Taarufku bisa saja jadi sesuatu yang mengusik hati kami, andai saja kami tidak mampu mengawalnya.Gurauan-gurauan yang diselitkan ada kalanya mungkin boleh jadi melalaikan dari niat sebenar kami. Maafkan aku. Aku tidak mungkin menjadi wanita yang mencalarkan imanmu walau sedikit. Kamu lelaki yang baik. Kalau saja Allah tidak menggerakkan hatiku, nescaya menjadilah aku hambaNYA yang zalim.

Aku harus bersabar dan pandai menjaga diri,perlakuan,dan tutur kataku. Sungguh! Dunia ini dipenuhi dengan apa-apa yang disukai oleh nafsu walau kita menidakkannya…Nauzubillah. Benarlah jalan menuju syurga itu amat payah, beronak duri, sedang jalan menuju neraka itu sangat manis dan mengandungi apa-apa yang disukai oleh nafsu. Semoga kita dilindungi oleh Allah.

Cukuplah kiranya sedikit taaruf yang telah disampaikan. Tiada yang istimewa padaku. Kalau saja orang menyukaiku dan menganggapku baik,itu adalah kerana Allah telah menutup keaibanku. Maha Suci Allah. Dialah Yang selayaknya dipuji. Bukan aku..aku hamba yang tidak punya apa-apa. Istikharahlah, bertanyalah kepada Allah, DIAlah Tuhanku dan Tuhanmu. DIA lebih mengenaliku melebihi diriku sendiri… kalau pada manusia,bertanyalah kepada sahabat-sahabatku tentang aku,namun jangan percaya semuanya kerana bukankah Allah telah menutup keaibanku?? Ana fakir fi ainillah…

*****************************************************************************************************

Aku impikan seorang lelaki yang di hatinya ada Engkau,Ya Allah. Yang mencontohi akhlak nabiMu Muhammad SAW walau aku tahu dia takkan mampu,sekurang-kurangnya dia berusaha ke arah itu dan mengambil baginda sebagai idolanya. Aku tidak impi seorang teman hidup yang terlalu sempurna, tapi memadailah dia yang sentiasa ingin menyempurnakan dirinya dengan kebaikan dan dapat menerimaku keranaMu Ya Allah… Ya Tuhanku, Engkau Maha Tahu tentang niatku dan perancangan masa hadapanku.

Ya Allah, Engkau mengajarku tentang pentingnya meletakkan kebergantungan hanya kepadaMU. Aku tetap yakin bahawa Engkau tidak akan pernah meninggalkan aku,justeru aku pohon kepadaMU Ya Allah, jangan biar aku jauh dariMU. Aku mohon dikurniakan lidah yang sentiasa basah berzikir menyebut dan memuji-muji Asma’Mu, hati yang penuh kusyuk mensyukuri segala kurniaanMU serta badan yang penuh ringan untuk menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU…

Ampunkan aku Ya Allah, kiranya aku terlalai dalam pencarianku mencari sebaris nama yang pernah aku buat perjanjian denganMU di alam rahimku dulu.

******************************************************************************************************

Ini baki sesi taaruf yang tidak sempat saya nyatakan… (buat A.F)

Nama penuh :- telah anda sedia maklum

Tarikh lahir :- 10 Januari 1987 ( saya lahir genap pada hari Tuan Guru Nik Aziz mencapai umur 56 tahun, semoga saya dapat mencontohi peribadi mulianya,berkat menjadikan Rasulullah idolanya)

Hobi        :- membaca, interior monolog, makan angin tengok laut, hutan, bukit,gunung2, bintang,tangkap gambar dll…

Penulis yang digemari    :- Ustaz Pahrol Md Juoi, Ustaz Dr Zahazan Mohamed, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Hilal Asyraf, Fatimah Syarha Mohd Nordin dan banyak lagi sebenarnya..

Majalah kegemaran:- Solusi

Radio Pilihan : IKIM F.M ( amat menyukai slot program Islam Itu Indah ( Prof Dr.Muhaya / Ustaz Ebit Lew), slot Usrati ( Ustazah Norhafizah Musa), slot Tafaqquh Fiddin (Pengajian Bersama Ustaz Md Aleh Solihin berkisar dalam persoalan aqidah berdasarkan kitab Umm al-Barahim), Fiqhus Sirah (Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid, Program yang membicarakan berhubung perjalanan perjuangan Baginda Rasulullah SAW berdasarkan kitab karangan Sheikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti ) dan banyak lagi…

Juga menyukai lagu2 Opick J

Perancangan masa hadapan :- aku pingin didik bakal putera puteriku menjadi penghafaz Al-Quran dari mereka kecil…semoga dipermudahkan.

Aku amat bahagia jika ada yang sefikrah denganku…

Boleh juga berhubung dengan sahabat-sahabatku jika ada yang masih belum jelas tentangku. (jangan bimbang mereka semuanya sudah berkahwin)🙂

Sahabat :- teman sek.menengahku yang masih berhubung hingga kini – Athirah Che Azimi (FB), teman sepengajianku dari IKIP, Yarmouk Universiti,Jordan, IPG Afzan ( Siti Robeah Bt Md Desa)/ Siti Robeah Siti Ruby (FB), teman di sekolah mengajar sekarang ( Janatul Naim Bt Jamaluddin / Janatul Naim Raduan (FB).

Sejujurnya aku tak punya teman baik yang aku khususkan, aku bahagia bersahabat dengan ramai orang..cumanya mereka yang aku nyatakan ini adalah yang sering aku kongsikan cerita bersamanya,berkongsi pandangan atau pemikiranku.

Sekian saja taarufku..moga anda sudah punya gambaran tentangku… 





Kisahku sementara menunggu posting (2)

23 09 2012

 Imej

    Memandang wajah-wajah comel tanpa dosa yang sedang tidur lena itu membuatkan hati rasa tenang. Walaupun tingkah laku mereka ketika jaga bisa mengundang rasa penat, namun sekejap cuma. Ketawa dan tangis mereka umpama muzik indah buatku. Kalau tidak kerana teguran dari guru-guru lama di situ agar tidak terlalu memanjakan kanak-kanak tersebut pasti penat juga aku di buatnya. Mereka amat suka bermesra denganku. Sesekali mereka datang mengusik dan aku meng’acah’ untuk menangkap mereka, maka bisinglah seketika ruang tersebut dengan suara jerit pekik mereka ketawa dalam ketakutan. Tidak sampai hati untuk memarahi mereka. Apalah yang hendak dimarahkan sangat dengan kanak-kanak berusia 1-3 tahun itu.

    Teringat gelagat Tuah, kanak-kanak berumur 2 tahun yang sentiasa tersenyum. Namun awas, dalam senyumnya itu datang mencubit atau menggigit kanak-kanak lain yang leka bermain. Sesekali terdengar suara aku atau syikin “Tuah..buat apa tu!?” Dengan muka tak bersalah,tersenyum dan terkebil-kebil memandang kami. Sesekali tangan ini memukul manja kakinya dan menegur sebagai isyarat bahawa tindakannya salah. Namun,kami akan pastikan bahawa pukulan tersebut tidak menyakitkan. Hukuman kecil cuma agar dia tidak mengulang perbuatannya. Ialah,bimbang juga jika kami terleka, mungkin akan mengundang kecederaan kepada kanak-kanak lain dan ini akan menimbulkan masalah untuk berhadapan dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut apabila terdapat kesan luka atau calar di badan anak kecil mereka. Menjaga kanak-kanak sekecil itu memang perlu sentiasa peka dan waspada.

    Qiesya, kanak-kanak berumur 2 tahun setengah yang seolah-olah professor serba tahu. Kalau nak tahu apa-apa contohnya “tuala siapa ni?” “mandian siapa ni?” “siapa yang gigit siapa?” di mana? Tanyakan saja pada Qiesya. “Qiesya, ni siapa punya?” Tuah nye (punye), “ni tuala siapa?” Dina nye, “ni botol susu siapa?” Apih nye. Sungguh bijak kanak-kanak tersebut, tapi kedekutnya boleh tahan juga. Awas jika ada kanak-kanak lain yang ambil atau mahu barangnya. Mulalah dia merengek dan mencebik untuk menangis. “Qiesya,tak baik kedekut…nanti Allah marah” “kalau Qiesya bagi dekat kawan, nanti Allah bagi baaaanyak lagi dekat Qiesya..” sesekali aku menasihatinya sebegitu. Memang pada asalnya mereka tidak kenal siapa itu Allah. Tapi aku tetap tak jemu mengulang benda yang sama setiap hari. Aku mahu kanak-kanak kecil di situ belajar mengenal dan mendengar nama Allah. Bukankah Awwaluddin ma’rifatullah ? (awal agama itu mengenal Allah).

    Qiesya, Tuah, Hafiz, Fifi, Fiziey, Dina, Aqilah, Aqil, Afiqah, Sairish… Allah tu Tuhan kita. DIA yang ciptakan Qiesya, Tuah… dan kita semua… Haa tengok langit tu, cahaya ni namanya cahaya matahari… Allah lah yang buat semua ni. Setiap pagi,aku pasti mengingatkan benda yang sama sebelum mereka belajar secara formal. Sekarang, bila ada yang bergaduh sesama sendiri, aku sebut saja “haaa..” pasti ada yang sambung “nanti Allah maarah..” @ “nanti Allah marah kan cikgu..?” suara Qilah menyampuk dan Qiesya pula mengulang benda yang sama. Aku hanya tersenyum dan mengiakan.

    Bila dah posting nanti, pasti aku akan merindui mereka. Aku amat berharap agar pengasuh atau cikgu mereka selepas aku dan syikin akan mengasuh mereka dengan lebih baik dan menerapkan nilai-nilai agama buat mereka. Rutin harian kami di situ bermula seawal jam 7. Biasanya bagi anak-anakku Hafiz Zharfan lah yang pertama sampai. Dia anak cikgu, jadi ibunya akan hantar awal. Tugas pertama kami,memandikan kanak-kanak yang belum mandi. Bagi yang telah mandi di rumah,ringanlah sikit tugas kami kan. Selepas menyiapkan mereka,kelas belajar pun bermula…tapi dengan kanak-kanak sekecil ini,awas! Jangan mengambil masa yang lama. 15 hingga 20 minit sahaja untuk satu-satu sesi. Kemudian mereka akan dibiarkan bebas bermain sambil kami memasang CD ilmiah. Belajar menyebut huruf fonik atau Furqan, mereka amat berminat dengannya. Kalau kami lambat memasang CD tersebut,pasti Tuah akan segera datang..” Gu…” (maksudnya cikgu) nak ayam..( sambil pegang CD Abu Ada Ayam)..ooo.. nak pasang CD ye..? belum sempat lagi, pasti dia kalut2 berebut dengan Fifi untuk pasang sendiri CD tersebut. Pandai juga dia pasang. Itulah kanak-kanak,mereka banyak belajar melalui pemerhatian.

    Kira-kira pukul 11 lebih, mereka akan dimandikan sekali lagi. Sama ada aku atau syikin akan membancuh susu botol untuk mereka. Kemudian,pada pukul 12.30 tengahari,masa mengisi perut pon tiba. Kanak-kanak tersebut dengan sendirinya akan duduk beratur di tepi dinding. Aku dan syikin seperti ibu mereka. Menyuap mereka seorang demi seorang. Kadang-kadang tu berebut juga bila makanan dalam mulut mereka cepat habis. “Fifi nak..” “Apih dulu..” itu kalau lauk yang best la.. Tapi kalau lauk yang kurang ‘kena’ dengan selera mereka, aku perlu bijak mengubah cara. Biasanya aku buat cara kapal terbang la..! ni la cara yang mak pernah buat dekat kami adik beradik waktu kecil-kecil dulu. Aku akan membahagikan nasi tersebut kepada beberapa bahagian, ambil sejemput dan ..buat bunyi seakan bunyi kapal terbang sambil tangan terbang turun naik dihadapan mereka dan bertanya..”haa..siapa nak kapal terbang…?”. Apa lagi,kalut la mereka membuka mulut seluasnya. “Fiziey nak..” “Apih nak”.. haa..baru nak makan.! Kadang2 Tuah, anak syikin juga datang kepadaku meminta disuapkan makanan kapal terbang kepadanya juga. Cemburu la tu.. huhu kanak-kanak..memang lumrah mereka sukakan permainan. Sehinggakan masa makan pun nak bermain kan..

    Selepas makan, mereka akan diberi botol susu dan kami akan menidurkan mereka. Masa ni lah aku dan syikin akan berpadu suara mengalunkan zikir dan bernasyid Subhanallah, Hasbi Rabbi, dan sebagainya. Ada juga antara kanak-kanak tersebut yang rajin mengikut berzikir sebelum mereka tertidur lena. Selepas 2 jam, mereka akan dikejutkan, mandi, bersiap-siap dan didandan cantik serta diberi susu sebelum di serahkan kepada ibu bapa mereka kira-kira pukul 5-6 petang.

    Di sinilah sebenarnya aku belajar erti pengorbanan seorang ibu mengasuh dan mendidik anak-anak kecilnya. Kalau suatu ketika dulu,pernah juga aku terfikir..heee macam mana lah nak basuh berak anak nanti..jenis penggeli sikit aku ni..tapi sejak berkhidmat di sini,semua tu dah tak ada lagi..hehe..🙂 Setiap malam sebelum tidur,ada sahaja cerita antara aku dan syikin tentang anak-anak kami pada hari tu. Tergelak-gelak kami dibuatnya mengenangkan kerenah lucu mereka.. hem rindunya pada mereka..





Kisahku sementara menunggu posting (1)

22 09 2012

Imej

Bismillahirrahmanirrahim.. dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Segala Puji dan syukur buat Tuhan Sekalian Alam..Selawat dan salam buat Rasul Junjungan mulia Muhammad SAW,kaum kerabat baginda, serta para sahabat yang diredhai olehNYA..

Saya mulakan coretan Melodi Hati kali ini dengan hati yang penuh syukur mengenangkan indahnya perjalanan hidup yang Allah aturkan tika ini..bermula Ramadhan lalu, DIA Yang Maha Mengaturkan perjalanan hidup hambaNYA meletakkan saya ditengah-tengah sebuah keluarga bahagia yang penuh ciri keislaman. Mengajar saya secara tidak langsung akan erti ketaatan kepadaNYA walau dalam kesibukan.

Saya juga belajar bagaimana caranya seorang isteri melayan suaminya. Sungguh ia sebuah pembelajaran secara tidak langsung yang amat berguna untuk saya di kemudian hari. Saya belajar dengan melihat dan merekod dalam minda saya. Kagum saya melihatnya. Melayan suami umpama raja. Tidak berlebihan jika saya katakan sahabat saya itu mampu menjadi contoh isteri solehah. Dalam diam saya berdoa agar nanti saya juga mampu menjadi sepertinya. Pastinya syurga menanti bagi seorang isteri solehah kan. Bak kata seorang ustaz yang saya dengar di Radio IKIM  rumahtangga boleh jadi gedung mengumpul pahala. Namun ada juga yang mungkin menjadi kayu api membakar kita DI SANA jika tak berhati dalam melayarinya. Saya ingin belajar hidup untuk lebih memberi. Menjadi isteri cerdik yang solehah.macam dalam lagu ni..

Dalam islam, terdapat beberapa peranan utama wanita di sisi lelaki, antaranya ialah:-

Wanita di cipta sebagai teman kepada lelaki

Dalam surah Ar-Ruum ayat 21 bermaksud Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Sebagai pemberi semangat

Dalam surah Al-Qosas ayat 9 pula menceritakan kisah nabi Musa dihanyutkan ke sungai dan bagaimana Asiah berjaya memujuk manusia sekeras dan seganas Firaun untuk memelihara baginda. Kuncinya adalah kata-kata yang lembut. Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). {Al-Qasas:9}

<script type=”text/javascript” language=”JavaScript” src=”http://surah.my/28/9.js”></script> 

Sebagai manusia yang bernafas dalam jiwa hamba sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang sementara ini untuk di uji oleh DIA Yang Maha Mencipta. Justeru tika ujian melanda, berusahalah sentiasa di sampingnya (suami). Jika tidak dapat membantu sekalipun, cukuplah sekadar menjadi pendengar yang setia.

Apa yang penting, dalam sebuah rumahtangga adalah kejujuran, kepercayaan, bertolak ansur, saling memaafkan dan saling menasihati. Perkara yang paling utama adalah binalah rumahtangga dengan kasih sayang dan cinta kepada DZAT Yang Menciptakan CINTA.

Imej 

Wahai adam yang Allah takdirkan untukku,

Aku tak sempurna,

Jika yang kau cari adalah Hawa yang rupawan,

Nescaya tak kan kau temui dariku,

Namun yang ada padaku hanyalah hamba yang berdoa saban waktu agar Allah memperindahkan akhlakku sebagaimana dia memperindahkan kejadianku.

 

Jika yang kau cari adalah Hawa dari golongan hartawan,

Nescaya tak kan kau temui dariku,

Kerana aku hanyalah anak dari golongan kebanyakan,

Namun aku dan keluargaku tak pernah keputusan,

 

Wahai Adam yang Allah takdirkan untukku,

Sukar untukku menjadi semulia Saidatina Khadijah,

Namun aku berusaha menjadikan diriku mencontohinya,

Melawan nafsu jahat yang datang menerjah,

Menguatkan iman yang sering goyah.

 

Amat jauh jika kau bandingkan aku dengan bijaknya Saidatina Aisyah,

Namun aku selalu berusaha menjadikan diriku pencinta ilmu,

Walau kadangkala nafsuku mengatakan ianya payah,

Tetapku yakin senang itu dari manisnya susah.

 

Adam yang Allah takdirkan untukku,

Aku bukanlah setabah Saidatina Fatimah,

Oleh itu yang kupohon adalah adam yang memimpinku ketika aku lemah,

Adamku..

Aku Hawa yang masih sedang belajar mengenal Penciptaku,

Aku Hawa yang Allah kurniakan dengan 9 nafsu,

Untukku urus dengan hikmah dan bijaksana bergabung menjadi satu,

Agar ia tidak menganggu dalam ibadahku kepada Rabbku.

Adamku,

Aku telah bersumpah meletakkan cinta Allah pertama di hatiku,

Dan ia akan tetap kekal walau tika kamu Allah pinjamkan untukku,

Oleh itu,aku pohon tegurlah aku tika aku lalai dengan duniaku,

 

Adamku,

Aku sentiasa berjanji pada diriku,

Menjadi Hawa yang setia berkhidmat untukmu,

Kerana ku tahu khidmat seorang isteri adalah ibadahku,

Untuk mendapat keredhaan tuhanku.

 

Adamku,

Aku amat bahagia jika engkau juga menjadikan keredhaanNYA sebagai matlamatmu,

Oleh itu,laksnakanlah amanahNYA padamu sehabis kudratmu,

insyaAllah engkau akan dapati aku sentiasa disampingmu,

membantumu selagi roh masih dijasadku..

 

****************************************************************************************

Back

Sebetulnya sepanjang Ramadhan lalu, sementara menunggu posting saya membantu rakan dan suaminya berniaga baju melayu di sebuah pasaraya. Saya suka dengan kerja sampingan saya ketika itu..berniaga! bukankah Rasulullah juga pernah menjadi peniaga yang berjaya? Di sana, saya belajar erti sabar,kepercayaan,jujur,amanah dan paling penting keyakinan dan kebergantungan sepenuhnya pada Allah.

Kini, selepas aidilfitri Allah menghantar saya pula ke pusat asuhan @ taska ini. Kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri menjelma,salah seorang pelanggan yang mengunjungi booth kami di pasaraya tersebut secara tiba-tiba menghulurkan kad perniagaannya kepada saya. Katanya dia perlukan 2 orang staf secepat mungkin selepas aidilfitri. Kebetulan saya memang menyukai kanak-kanak,jadi mungkin ini peluang saya untuk menimba ilmu sebagai persedian jika berumah tangga kelak.

Rutin harian saya, menguruskan kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun. Sungguh lama saya tidak menguruskan kanak-kanak semuda itu. Kali terakhir pun menguruskan adik bongsu ketika saya masih di bangku sekolah rendah. Itu pun hanya membantu mak dalam kerja-kerja yang mudah sahaja. Ikuti kisah sementara menunggu posting saya selepas ini ye..🙂

 





Kembali

15 09 2012

Bismillahirrahmanirrahim…
Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia Muhammad SAW, kaum kerabat ,para sahabat Baginda yang mulia keseluruhannya..

Kunjungan pertama setelah 2 tahun Melodi Hati sunyi tanpa sebarang entry. Entah kenapa berat untuk saya mencoret di sini. Barangkali terlalu banyak yang ingin saya coretkan,namun tidak tahu mana yang perlu didahulukan,akhirnya tiada satu pun yang melekat di sini…. dunia saya sepanjang 2 tahun ini dirasakan terlalu pantas..dari bekerja di bank,saya kini seorang guru! Anehkan dunia.. tiada siapa yang tahu siapa, apa, bagaimana dan di mana dia pada masa akan datang.. semuanya rahsia DIA YANG MAHA TAHU. YANG MENGATURKAN SEGALA SESUATU.. DIA YANG SATU.. SubhanAllah..terlalu besar hikmah disebalik setiap kejadian..

2 tahun yang berlalu mencatat berbagai peristiwa. Alhamdulillah di atas segala kurnian tuhan. Keadaan ekonomi keluarga yang semakin bertambah baik, pertambahan ahli keluarga baru dengan perkahwinan abang sulung saya, jalinan silaturrahim dengan ramai rakan,kenalan baru yang seperjuangan ketika di maktab Afzan, menghadiri walimah rakan-rakan seperjuangan ketika di Jordan dahulu, menimang anak ‘angkat’ dari rakan-rakan yang lebih awal mendahului dalam memenuhi tuntutan Sunnah mendirikan masjid. Tidak lupa juga kerenah anak-anak murid yang mencetuskan pelbagai warna warni dalam hidup saya kini.. Ramai juga yang bertanya, bila pula giliran saya untuk menamatkan zaman anak dara ni? Bukannya saya tidak mahu,bahkan ianya sentiasa bermain di fikiran. Sedikit cemburu dengan rakan-rakan yang lebih awal mengikut Sunnah rasul ini.. namun segera saya pujuk hati bahawa Allah tidak pernah menzalimi. DIA Maha Tahu yang mana terbaik untuk kita. DIA memberi apa yang kita perlukan,bukan apa yang kita mahukan. Kerana boleh jadi apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita..

Kehilangan idea untuk menulis seketika..barangkali kerana terlalu lama menyepikan diri..hehe..oklah..apa kata kali ni kita hayati lagu Istikharah Cinta by Sigma ni..saya suka dengan lagu ni..mendalam maksudnya dan amat berkait rapat dengan kita yang sedang berusaha memohon petunjukNYA..

Bersaksi cinta diatas cinta
Dalam alunan tasbih ku ini
Menerka hati yang tersembunyi
Berteman dimalam sunyi penuh do’a

Sebut nama Mu terukir merdu
Tertulis dalam sajadah cinta
Tetapkan pilihan sebagai teman
Kekal abadi hingga akhir zaman

Istikharah cinta memanggilku
Memohon petunjukmu
satu nama teman setia
Naluriku berkata

Dipenantian luahan rasa
Teguh satu pilihan
Pemenuh separuh nafasku
Dalam mahabbah rindu

diistikharah cinta..

**entry lama yang baru di post*