Aku Bukan Malaikat..

14 06 2014

sins

Bismillahirrahmanirrahim… segala pujian hanya layak bagi Allah..Tuhan Semesta Alam. Tuhan yang mempunyai Kebesaran Dan Kemuliaan. Dia yang Maha Indah dan menciptakan setiap keindahan.. kepadaMU Allah..Tuhanku, aku berdoa dengan sepenuh pengharapan.. perindahkanlah akhlakku seperti mana Engkau perindahkan kejadianku.
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan Mulia, kekasih yang kami rindui saban hari..tidak sabar untuk bertemumu Rasulullah SAW…doaku agar mulutku tidak kering berselawat ke atasmu..tidak jemu mencontohi akhlakmu..
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Hari ini Jumaat bersamaan 15 Sya’ban 1435 H. Aku terjaga selepas azan subuh, terkejut, sedih,menyesal…dan berbagai-bagai lagi perasaan. Apa yang pasti, aku sedih dan kecewa dengan diri aku! Aku gagal lagi untuk bangun di 1/3 malam terakhir, sedang jam di handphone telah aku setkan. Aku terdiam dan berfikir..barangkali ini adalah kerana dosa-dosa yang telah aku lakukan, dan aku pandang remeh tentangnya.

Sejak akhir-akhir ini aku memang jarang dapat bangun malam. Barangkali Allah marah kepadaku, dan kerana itu DIA tidak mengizinkan aku bertemuNYA saat aku sedang terlalai. Aku menyesal dan bertaubat Ya Allah.. aku rela hilang segalanya, namun aku tak boleh hilang cintaku padaMU Ya Allah.. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana rasanya bila Engkau Jauh dariku. Aku tak punya sesiapa dan tak punya apa-apa.. keluarga?? Mereka itu dipinjamkan olehmu..sampai saatnya mereka akan pergi dariku, atau aku yang pergi meninggalkan mereka.. segala harta ini juga barangkali akan hilang dan pergi dariku.. yang aku ada hanya Engkau tempat aku mengadu. Lalu…jika aku jauh darimu, apa lagi yang ada tinggal untukku? Ya Allah..jangan biar aku jauh darimu..jangan biar aku hilang kebergantungan kepadaMU..jangan biar aku terleka dengan duniaku.

Aku renung ke dalam diri..
Apa sebab aku jadi begini..
Barangkali kealpaanku dalam menjaga hubungan sesama insani..
1 janji yang kini telah aku mungkiri..
Aku melihat lagi…
Lalu aku terlanjur persoalkan mengapa Tuhan izinkan aku begini?
Aku terlupa…aku bukan malaikat!
Yang imannya sering meningkat..
Aku manusia..
Imanku bertambah dan berkurang..
Kerana itu Allah ciptakan syurga dan neraka..
Syurga itu pagarnya apa yang dibenci nafsu,
kerana itu ianya sukar ditembusi
Hanya mereka yang layak sahaja mampu mengharungi..
Dan kini aku diuji lagi..
Aku sudah jauh denganMu Tuhan..
Bilamana aku sudah berani mengadu
takut,sakit,sedih dan gembiraku pada manusia,
Sesuatu yang tidak aku lakukan ketika dulu,
Kerana dulu aku hanya mengadu kepadaMU

Buat insan yang kupanggil ‘adik’…maaf..walau antara kita berbeza usia..namun, kita bukan lagi anak kecil yang kalau suatu ketika dulu pergaulannya tidak ada batasan dan tidak dikira kesalahan..sewaktu kecil, kita masing-masing bebas berkawan lelaki dan perempuan, bertepuk tampar, barangkali berpegangan tangan ketika bermain ‘pukul lalat’, ‘datuk harimau’, polis sentry, nyorok-nyorok, saling bantu memanjat pokok, ataupun bergandingan bahu ketika berjalan.
Namun ketika ini, kita masing-masing telah menginjak usia dewasa. Seharusnya pergaulan ini lebih terjaga.. maaf aku katakan..

jarak

Biarlah aku (kakak) hadkan pergaulan ini hanyalah sebatas rakan sekerja. Teringat aku pada kata-kata Syeikh Nuruddin al-Banjari dalam slot Topik Jumaat di Radio IKIM F.M, “secanggih mana teknologi kini, secanggih itu jugalah maksiat yang akan dilakukan”. Aku sangat takut jika aku salah seorang yang terjebak di dalamnya. Pastinya ada yang memikirkan bahawa aku faham agama, tak kan aku akan terlibat? Tak kan aku tidak dapat bezakan?tak kan..tak kan dan entah berapa banyak “tak kan” lagi.. Satu yang aku pasti, aku bukan malaikat! Sebab itu aku lebih suka mengambil jalan “Saddu al zara’i’ “ salah satu kaedah dalam ilmu Usul Fiqh yang mana bermaksud mencegah atau menyekat jalan yang membawa kepada kerosakan. Memang terlalu banyak dan panjang lebar perbincangan ulama’ dalam perkara Saddu al Zara’i’ ini. Seandainya hubungan pergaulan tersebut dibimbangi akan membawa kepada kelalaian, kemaksiatan dan sebagainya sebaiknya hendaklah dijauhi dan dipelihara.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai hubungan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (asing/bukan mahram). Ada ulama’ yang menyatakan bahawa asalnya adalah haram/ditegah. Manakala sebahagian ulama’ menyatakan ianya harus. Namun hukum tersebut boleh bertukar mengikut situasi, keadaan dan tujuan. Islam juga tidak pernah menyekat pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam banyak keadaan. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Muasyirah, Jilid 2 menyebutkan :

“Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak.. Dan wajib patuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab”.

“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang terlalu ketat.”

Antara perkara yang boleh kita amalkan seperti mana yang digariskan dalam dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.
2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.
3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).
4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.
6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Buat kamu yang memanggilku dengan panggilan ‘kakak’…aku sangat takut sebenarnya kalau hatiku berubah. Kalau aku mengajakmu terlalai dengan gurauan senda yang tidak aku sengajakan. Bahkan jika aku sampai menghadkan pergaulan ini hanya sekadar bertanyakn perihal agama, aku takut jika aku masih termasuk seperti dalam ayat Al-Quran dari surah As-Saff yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”. QS. Al-Saff: 2

“(itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan” QS. As-Saff:3

Aku juga masih sedang mencari cinta Allah.. aku mohon ampun Ya Allah kiranya aku kini masih belum benar-benar mengenalMU..

******************************************************************
Doa & Permintaan

Semalam,aku mendengar bicara Ustazah Norhafizah Musa di Radio IKIM F.M tentang DOA BUAT KEKASIH..

Benarkah selama ini kita telah berdoa kepada Allah? Atau kita sebenarnya hanya sekadar ‘meminta’..? Doa dan permintaan adalah dua benda yang berbeza. DOA adalah kerja hati dan PERMINTAAN hanyalah sebatas kerja lisan (lidah). Ini bermakna, ketika kita berdoa, kita meminta dengan bersunguh-sungguhn..sepenuh hati. Itu barangkali terjadi ketika kita benar-benar mengharapkan sesuatu dari Allah, tetapi apabila Allah telah mengabulkan permintaan kita, kita hanya berdoa sambil lewa. Terucap di bibir namun tidak sampai ke hati. Ketika itu kita bukan lagi berdoa, tetapi ‘meminta’. Betapa banyak kejahilan yang kita lakukan saban hari.
******************************************************************
Insan yang bergelar ‘adik’…kadangkala kakak terfikir, perkara ini mungkin akan mengundang salah faham pada pihak kamu. Serba salah aku jadinya. Sebolehnya aku ingin menjaga hati.
Namun teringat pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa mencari keredhaan Allah dengan marahnya manusia, nescaya dia dicukupkan oleh Allah dari perbelanjaan manusia dan Barang siapa mencari keredhaan manusia dengan kemarahan Allah nescaya dia akan diserahkan oleh Allah kepada manusia.”

Biar apa sekalipun tanggapan kamu pada aku, yang pasti aku ingin kita bersama ke syurga.

bila kesilapan semalam kini aku ulangi,
dan taubatku tidak aku tepati,
aku sudah tidak percaya pada diriku lagi,
1 tindakan drastik harus aku mulai,
Menghidupkan kembali butang strategi 3 P,
PAUSE, PRIORITY dan PERGI…
Kini harapanku hanya padaMu Rabbi,
Kerana Engkaulah Yang Maha Mengetahui,
Cukuplah Engkau bagiku,
Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dariMU.

Aku buka lembaran Kitab Suci, dan kubaca ayat-ayat dari Surah Al-Kahfi. Surah yang dimulai dengan Kisah para pemuda Ashabul Kahfi yang pergi berlindung ke dalam gua bagi menjaga dan mempertahan keimanan mereka. Ya! Apabila kita tidak mampu berhadapan dengan ujian yang boleh menggoncangkan iman, salah satu jalannya adalah dengan menghindari.. pergi jauh dari ujian itu.
Kemudian, pada ayat ke 32, bersambung pula dengan kisah 2 orang lelaki yang mana salah seorangnya dikurniakan Allah dengan nikmat yang melimpah ruah. 2 kebun yang subur, terdapat sungai yang mengalir diantara keduanya, anak-anak dan pengikut yang ramai, namun menzalimi diri sendiri dengan tidak bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Sedang temannya yang seorang lagi kekurangan harta tetapi sangat menghargai nikmat Tuhannya. Akhirnya kebun lelaki yang sombong tersebut dimusnahkan oleh Allah lalu menjadilah dia seorang yang berputus asa.
Aku sangat takut, sekiranya aku termasuk di kalangan kelompok lelaki yang pertama. Menjadi hambaNYA yang tidak bersyukur…

Dalam ayat 45 Allah memberi perumpaan kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang diturunkan dari langit lalu tumbuhan di bumi menjadi subur kerananya. Kemudian tumbuhan tersebut menjadi kering lalu diterbangkan oleh angin. Kalau itulah keadaanya, kehidupan dunia ini sangatlah pendek. Jadi mengapa kita bazirkan masa yang kita ada dengan sesuatu yang kurang penting kan?

Hatiku semakin gementar bila ayat 49 aku baca maksudnya “ dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata:”Aduhai celaka kami,kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya. Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.”

Kalau aku mengira amalku telah banyak, namun bagaimana jika sampai saatnya aku berdiri di hadapan Allah, dan Allah mengatakan bahawa ianya kosong! Gelaplah mataku..Lalu ketika itu adakah aku boleh meminta untuk dikembalikan ke dunia? Mustahil… Nauzubillah.. aku berlindung diri denganMu Ya Allah dari perkara itu terjadi keatasku.

Advertisements

Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: