Aku Bukan Malaikat..

14 06 2014

sins

Bismillahirrahmanirrahim… segala pujian hanya layak bagi Allah..Tuhan Semesta Alam. Tuhan yang mempunyai Kebesaran Dan Kemuliaan. Dia yang Maha Indah dan menciptakan setiap keindahan.. kepadaMU Allah..Tuhanku, aku berdoa dengan sepenuh pengharapan.. perindahkanlah akhlakku seperti mana Engkau perindahkan kejadianku.
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan Mulia, kekasih yang kami rindui saban hari..tidak sabar untuk bertemumu Rasulullah SAW…doaku agar mulutku tidak kering berselawat ke atasmu..tidak jemu mencontohi akhlakmu..
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Hari ini Jumaat bersamaan 15 Sya’ban 1435 H. Aku terjaga selepas azan subuh, terkejut, sedih,menyesal…dan berbagai-bagai lagi perasaan. Apa yang pasti, aku sedih dan kecewa dengan diri aku! Aku gagal lagi untuk bangun di 1/3 malam terakhir, sedang jam di handphone telah aku setkan. Aku terdiam dan berfikir..barangkali ini adalah kerana dosa-dosa yang telah aku lakukan, dan aku pandang remeh tentangnya.

Sejak akhir-akhir ini aku memang jarang dapat bangun malam. Barangkali Allah marah kepadaku, dan kerana itu DIA tidak mengizinkan aku bertemuNYA saat aku sedang terlalai. Aku menyesal dan bertaubat Ya Allah.. aku rela hilang segalanya, namun aku tak boleh hilang cintaku padaMU Ya Allah.. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana rasanya bila Engkau Jauh dariku. Aku tak punya sesiapa dan tak punya apa-apa.. keluarga?? Mereka itu dipinjamkan olehmu..sampai saatnya mereka akan pergi dariku, atau aku yang pergi meninggalkan mereka.. segala harta ini juga barangkali akan hilang dan pergi dariku.. yang aku ada hanya Engkau tempat aku mengadu. Lalu…jika aku jauh darimu, apa lagi yang ada tinggal untukku? Ya Allah..jangan biar aku jauh darimu..jangan biar aku hilang kebergantungan kepadaMU..jangan biar aku terleka dengan duniaku.

Aku renung ke dalam diri..
Apa sebab aku jadi begini..
Barangkali kealpaanku dalam menjaga hubungan sesama insani..
1 janji yang kini telah aku mungkiri..
Aku melihat lagi…
Lalu aku terlanjur persoalkan mengapa Tuhan izinkan aku begini?
Aku terlupa…aku bukan malaikat!
Yang imannya sering meningkat..
Aku manusia..
Imanku bertambah dan berkurang..
Kerana itu Allah ciptakan syurga dan neraka..
Syurga itu pagarnya apa yang dibenci nafsu,
kerana itu ianya sukar ditembusi
Hanya mereka yang layak sahaja mampu mengharungi..
Dan kini aku diuji lagi..
Aku sudah jauh denganMu Tuhan..
Bilamana aku sudah berani mengadu
takut,sakit,sedih dan gembiraku pada manusia,
Sesuatu yang tidak aku lakukan ketika dulu,
Kerana dulu aku hanya mengadu kepadaMU

Buat insan yang kupanggil ‘adik’…maaf..walau antara kita berbeza usia..namun, kita bukan lagi anak kecil yang kalau suatu ketika dulu pergaulannya tidak ada batasan dan tidak dikira kesalahan..sewaktu kecil, kita masing-masing bebas berkawan lelaki dan perempuan, bertepuk tampar, barangkali berpegangan tangan ketika bermain ‘pukul lalat’, ‘datuk harimau’, polis sentry, nyorok-nyorok, saling bantu memanjat pokok, ataupun bergandingan bahu ketika berjalan.
Namun ketika ini, kita masing-masing telah menginjak usia dewasa. Seharusnya pergaulan ini lebih terjaga.. maaf aku katakan..

jarak

Biarlah aku (kakak) hadkan pergaulan ini hanyalah sebatas rakan sekerja. Teringat aku pada kata-kata Syeikh Nuruddin al-Banjari dalam slot Topik Jumaat di Radio IKIM F.M, “secanggih mana teknologi kini, secanggih itu jugalah maksiat yang akan dilakukan”. Aku sangat takut jika aku salah seorang yang terjebak di dalamnya. Pastinya ada yang memikirkan bahawa aku faham agama, tak kan aku akan terlibat? Tak kan aku tidak dapat bezakan?tak kan..tak kan dan entah berapa banyak “tak kan” lagi.. Satu yang aku pasti, aku bukan malaikat! Sebab itu aku lebih suka mengambil jalan “Saddu al zara’i’ “ salah satu kaedah dalam ilmu Usul Fiqh yang mana bermaksud mencegah atau menyekat jalan yang membawa kepada kerosakan. Memang terlalu banyak dan panjang lebar perbincangan ulama’ dalam perkara Saddu al Zara’i’ ini. Seandainya hubungan pergaulan tersebut dibimbangi akan membawa kepada kelalaian, kemaksiatan dan sebagainya sebaiknya hendaklah dijauhi dan dipelihara.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai hubungan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (asing/bukan mahram). Ada ulama’ yang menyatakan bahawa asalnya adalah haram/ditegah. Manakala sebahagian ulama’ menyatakan ianya harus. Namun hukum tersebut boleh bertukar mengikut situasi, keadaan dan tujuan. Islam juga tidak pernah menyekat pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam banyak keadaan. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Muasyirah, Jilid 2 menyebutkan :

“Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak.. Dan wajib patuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab”.

“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang terlalu ketat.”

Antara perkara yang boleh kita amalkan seperti mana yang digariskan dalam dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.
2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.
3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).
4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.
6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Buat kamu yang memanggilku dengan panggilan ‘kakak’…aku sangat takut sebenarnya kalau hatiku berubah. Kalau aku mengajakmu terlalai dengan gurauan senda yang tidak aku sengajakan. Bahkan jika aku sampai menghadkan pergaulan ini hanya sekadar bertanyakn perihal agama, aku takut jika aku masih termasuk seperti dalam ayat Al-Quran dari surah As-Saff yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”. QS. Al-Saff: 2

“(itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan” QS. As-Saff:3

Aku juga masih sedang mencari cinta Allah.. aku mohon ampun Ya Allah kiranya aku kini masih belum benar-benar mengenalMU..

******************************************************************
Doa & Permintaan

Semalam,aku mendengar bicara Ustazah Norhafizah Musa di Radio IKIM F.M tentang DOA BUAT KEKASIH..

Benarkah selama ini kita telah berdoa kepada Allah? Atau kita sebenarnya hanya sekadar ‘meminta’..? Doa dan permintaan adalah dua benda yang berbeza. DOA adalah kerja hati dan PERMINTAAN hanyalah sebatas kerja lisan (lidah). Ini bermakna, ketika kita berdoa, kita meminta dengan bersunguh-sungguhn..sepenuh hati. Itu barangkali terjadi ketika kita benar-benar mengharapkan sesuatu dari Allah, tetapi apabila Allah telah mengabulkan permintaan kita, kita hanya berdoa sambil lewa. Terucap di bibir namun tidak sampai ke hati. Ketika itu kita bukan lagi berdoa, tetapi ‘meminta’. Betapa banyak kejahilan yang kita lakukan saban hari.
******************************************************************
Insan yang bergelar ‘adik’…kadangkala kakak terfikir, perkara ini mungkin akan mengundang salah faham pada pihak kamu. Serba salah aku jadinya. Sebolehnya aku ingin menjaga hati.
Namun teringat pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa mencari keredhaan Allah dengan marahnya manusia, nescaya dia dicukupkan oleh Allah dari perbelanjaan manusia dan Barang siapa mencari keredhaan manusia dengan kemarahan Allah nescaya dia akan diserahkan oleh Allah kepada manusia.”

Biar apa sekalipun tanggapan kamu pada aku, yang pasti aku ingin kita bersama ke syurga.

bila kesilapan semalam kini aku ulangi,
dan taubatku tidak aku tepati,
aku sudah tidak percaya pada diriku lagi,
1 tindakan drastik harus aku mulai,
Menghidupkan kembali butang strategi 3 P,
PAUSE, PRIORITY dan PERGI…
Kini harapanku hanya padaMu Rabbi,
Kerana Engkaulah Yang Maha Mengetahui,
Cukuplah Engkau bagiku,
Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dariMU.

Aku buka lembaran Kitab Suci, dan kubaca ayat-ayat dari Surah Al-Kahfi. Surah yang dimulai dengan Kisah para pemuda Ashabul Kahfi yang pergi berlindung ke dalam gua bagi menjaga dan mempertahan keimanan mereka. Ya! Apabila kita tidak mampu berhadapan dengan ujian yang boleh menggoncangkan iman, salah satu jalannya adalah dengan menghindari.. pergi jauh dari ujian itu.
Kemudian, pada ayat ke 32, bersambung pula dengan kisah 2 orang lelaki yang mana salah seorangnya dikurniakan Allah dengan nikmat yang melimpah ruah. 2 kebun yang subur, terdapat sungai yang mengalir diantara keduanya, anak-anak dan pengikut yang ramai, namun menzalimi diri sendiri dengan tidak bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Sedang temannya yang seorang lagi kekurangan harta tetapi sangat menghargai nikmat Tuhannya. Akhirnya kebun lelaki yang sombong tersebut dimusnahkan oleh Allah lalu menjadilah dia seorang yang berputus asa.
Aku sangat takut, sekiranya aku termasuk di kalangan kelompok lelaki yang pertama. Menjadi hambaNYA yang tidak bersyukur…

Dalam ayat 45 Allah memberi perumpaan kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang diturunkan dari langit lalu tumbuhan di bumi menjadi subur kerananya. Kemudian tumbuhan tersebut menjadi kering lalu diterbangkan oleh angin. Kalau itulah keadaanya, kehidupan dunia ini sangatlah pendek. Jadi mengapa kita bazirkan masa yang kita ada dengan sesuatu yang kurang penting kan?

Hatiku semakin gementar bila ayat 49 aku baca maksudnya “ dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata:”Aduhai celaka kami,kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya. Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.”

Kalau aku mengira amalku telah banyak, namun bagaimana jika sampai saatnya aku berdiri di hadapan Allah, dan Allah mengatakan bahawa ianya kosong! Gelaplah mataku..Lalu ketika itu adakah aku boleh meminta untuk dikembalikan ke dunia? Mustahil… Nauzubillah.. aku berlindung diri denganMu Ya Allah dari perkara itu terjadi keatasku.

Advertisements




Tuhan Sedang Mendidik… (^_^)

7 06 2013

Imej

 

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]

 

Alhamdulillah wa syukru lillah…puji pujian buat Tuhan Semesta Alam..Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW,kaum kerabat baginda,para sahabat serta yang mengikut keseluruhannya..

     Petang Jumaat 7 jun 2013, sekali lagi Allah menguji… kiriman pos berdaftar dokumen penting dari Perak yang amat ditunggu-tunggu masih belum tiba,sedangkan esok(sabtu) pejabat pos tutup,dan ahad mahu pulang semula ke Perak… setelah dua tiga panggilan yang diterima dari petugas pos kawasanku memaklumkan yang dokumenku mungkin akan sampai pada hari isnin,aku mula terdiam..berfikir… dari tadi aku cuba menghubungi pejabat pos utama di bandar untuk menjejaki di mana lokasi sebenar dokumenku sekarang masih belum berjaya…tidak cukup dengan tu aku cuba hubungi talian hotline Pos Malaysia,namun ternyata suara operator yang menjawab mengecewakan..puas bermacam cara aku cuba termasuk track n trace secara online,namun yang kelihatan hanya lokasi dokumen tersebut mula diterima sahaja… ujian apakah ini…?Aku cemas memikirkan kalau benar dokumen tersebut sampai pada hari isnin di Pahang,ini bermakna sia-sia sahajalah ia di pos dari Perak untuk mempercepatkan urusan,sebaliknya urusan makin jadi lama..mungkin ibuku perlu pos kembali dokumen itu padaku.. hem satu tindakan yang sia-sia aku kira…makan duit dan masa… sedangkan aku kini bekejar-kejar dengan masa dokumen tersebut harus di selesaikan…

     Sedikit demi sedikit kesabaranku mulai hilang dan di saat syaitan sudah mula memainkan peranannya, aku mula teringat kembali kata-kata Ustaz Ebit Lew di Radio IKIM ketika slot Islam Itu Indah pada minggu lepas…beliau menceritakan suatu ketika ujian yang besar menimpa diri dan keluarganya hingga kesabaran sudah tipis dan kemudian isterinya berkata “ Rahmat apa yang akan mereka terima daripada Allah sebenarnya ni” Habib Jewels ke… (nada bergurau)… dan kemudian beliau mengajak kita berfikir, apabila datang satu ujian,fikirkan bahawa “ada Rahmat besar sebenarnya yang akan datang pada kita” kerana Allah tu kan Maha Penyayang, bila sesuatu hilang dari kita,DIA akan menggantikannya dengan sesuatu yang jauh lebih baik…bersangka baiklah dengan Allah…

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]

Dengan kuasa dan rahmat Allah,perasaan resah,gelisah,marah dan perasaan-perasaan buruk dari syaitan tadi beransur pergi…kesabaran yang tadinya mulai hilang datang kembali..alhamdulillah… aku mula terfikir Rahmat apa lah yang Allah nak bagi sebenarnya ni..? betapa Maha Pengasihnya DIA, bukankah aku sering berdoa supaya menjadi hamba yang lebih hampir denganNYA..? bukankah aku sering meminta agar Allah tidak membiarkan aku jauh dariNYA? Bukankah aku sering meminta kasih sayangnya… orang yang disayangi Allah,hampir denganNYA itu kan sering di uji? Allah berhak untuk menguji sejauh mana kebenara kata-kata kita,bahawa kita ingin jadi hamba yang sentiasa mentaatiNYA,hamba yang sentiasa mensyukuriNYA, hamba yang sabar dan redha dengan setiap ketentuanNYA… ya..! mengingatkan kembali semuanya, hilang terus peraaan-perasaan tidak enakku di awal tadi… rasa malu dengan Allah mula menjelma…Astaghfirullahal3azim.. terima kasih Ya Allah di atas ‘teguran’ kecil ini… ya! Allah Sedang Mendidik… 

Dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda; (yang bermaksud)

 

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Imej

 





Alahai si bujang…

22 05 2010


Bismillahirrahmanirrahim.. salam sejahatera dan semoga kita semua sentiasa bahagia dan dilindungi oleh Allah..

Alahai si bujang…haa kenapa pula tiba-tiba saya menulis dan bercerita tentang si bujang ni? Apa yang terjadi? Bujang yang mana satu ni? Ok2.. tak perlulah saya berteka-teki.Sebenarnya sejak akhir-akhir ni ramai antara si bujang kenalan saya yang menamatkan zaman bujangnya dan list ‘sedang menunggu giliran’ juga bertambah. Bagus la macam tu kan.. menyempurnakan sunnah rasul.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya, “Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku”.

Kepada yang dah lepas tu, alhamdlulillah..dan didoakan agar kalian berjaya menempuh alam baru yang tentunya banyak berbeza dengan sebelumya. Ingatlah akad nikah yang kalian lafazkan bukanlah setakat menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan tapi juga sebagai janji kalian kepada Allah, memikul amanah, membina sebuah rumahtangga yang barakah, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, serta masyarakat berilmu yang bicaranya penuh hikmah.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. ( Q.S SURAH AL-FURQAN: 74)

TANGGUNGJAWAB

Ikatan pernikahan tandanya bermula satu pertambahan baru dalam nilai tanggungjawab kita. Jika dahulu mungkin kita hanya bertanggungjawab pada diri kita, kedua ibu bapa atau adik beradik sahaja. Tapi kini tanggungjawab kita sudah bertambah kepada ahli baru. Samada tanggungjawab suami kepada isteri atau sebaliknya.
Pernikahan adalah untuk melengkapkan sebuah kehidupan, seterusnya menghampiri kesempurnaan. Kesempurnaan mutlaq hanyalah milik Allah SWT. Lelaki dan perempuan (suami isteri) diciptakan untuk saling melengkapi, bermakna kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru terimalah kekurangan pasangan anda dengan redha dan berlapang dada. Berazamlah untuk memberi yang terbaik buat mereka. Orang yang paling bahagia ialah orang dapat memberi kebahagiaan kepada orang lain.

PEMILIHAN PASANGAN

Saya pasti kita semua tahu dalam etika pemilihan pasangan. Pastinya kita inginkan insan yang terbaik,menjadi teman sepanjang hayat. Justeru pemilihan pasangan menjadi begitu terperinci dan teliti. Tapi dalam ketelitian itu juga kadangkala kita salah membuat percaturan. Mungkin kerana kita terlalu harapkan kesempurnaan. Mencari-cari sesuatu yang lebih baik.. kadangkala kita telah terjumpa permata yang terbaik di awal perjalanan lagi,tapi dek kerana ingin mngejar kerlipan berlian di hujung perjalanan, permata suci kita tinggalkan. Lalu pabila tiba di hujung jalan, hanyalah kristal yang kelihatan.

Islam telah memberi garis panduan dalam pemilihan pasangan. “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan”.

Pada pandangan saya, satu lagi ciri yang ramai orang pentingkan dalam memilih pasangan adalah KEMATANGAN. Tapi..sejauh mana kita menilai seseorang itu sebagai matang? Atau cukup matang? Bagi saya matang adalah subjektif dan sukar untuk diukur. Kita tidak boleh melihat seseorang itu matang atau tidak hanya disebabkan wajah, perlakuan atau gayanya pada satu-satu masa. Boleh jadi seseorang itu punya sebab tertentu mengapa perlakuannya seperti itu. Contohnya seseorang yang sentiasa kelihatan happy go lucky. Adakah boleh kita katakan dia itu tidak matang? Dan seorang yang kelihatan cool sepanjang masa itu matang? Adakah semudah itu kita mengukur tahap kematangan seseorang? Dalam hal ini saya agak kurang bersetuju. Boleh jadi sikap dan perlakuannya berbeza di hadapan kita dan yang lain-lainnya mengikut keadaan. Dalam kata mudah,dia tidak berkeadaan begitu setiap masa. Dia meletakkan emosinya berbeza-beza mengikut kepada dengan siapa dia sedang berhadapan. Sebenarnya di sinilah letaknya kematangannya.

Untuk mengukur tahap kematangan seseorang, kita perlu melihatnya dalam semua keadaan, masa dan persekitaran. Matang itu satu proses yang tidak berhenti. Selalunya ia berubah seiring dengan perubahan masa dan peristiwa yang dilalui serta sejauh mana kita menjadi ‘dewasa’ dengannya.
Bagi saya, matang yang sebenarnya juga adalah bergantung pada tahap ‘kedewasaan’ seseorang pada hal-hal agama. Sejauh mana dia faham dan mengerti bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk akhirat dan hasilnya akan dituai di akhirat kelak. Kerana itu dia berusaha menghasilkan tanaman yang terbaik juga menjaga agar tanamannya tidak diserang serangga perosak. Seluruh kehidupan kita jika dikaitkan dengan agama,insyaAllah akan bahagia. Ingatlah Allah dalam kesepian dan keramaian.
Sekian.





Salah siapa..??

22 04 2010


Bismillahirrahmanirrahim…selawat dan salam buat rasul junjungan Muhammad S.A.W..kaum kerabat baginda,para Tabii3een, serta seluruh umat islam yang sedang berjihad dengan harta dan jiwa mereka memerangi segala bentuk kezaliman manusia,nafsu dan juga syaitan..

“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, Kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.” (Q.s. an-Nisa’: 76).

Tahniah kepada anda yang telah berjaya dan sedang mencuba.tapi diingatkan kepada anda dan diri saya khasnya agar tidak berhenti dari jihad ini kerana nafsu itu degil sifatnya dan syaitan itu tidak akan berhenti menyesatkan manusia.itu janjinya pada Allah.

“Ia (syaitan) berkata, ‘Ya Tuhanku, Kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan hal-hal di muka bumi terlihat baik bagi mereka (manusia) dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka’.” (Q.s. al-Hijr: 39-40).

Kenapa saya bicara tentang nafsu dan juga syaitan..? em kerana isu kali ini adalah berkait rapat dengan keduanya..2@ 3 minggu kebelakangan ini isu yang hangat dipaparkan di dada akhbar atau dibincangkan di radio dan televisyen adalah berkaitan dengan pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak hingga menyebabkan kematian. Ini bukanlah isu baru tapi telah berakar umbi sekian lama hingga keadaannya sekarang adalah amat parah.

Anak adalah anugerah Allah,lalu mengapa mesti dibuang atau didera..?adakah kerana dia hadir tanpa dipinta? Atau belum tiba masanya? Malu? Takut diketahui orang tentang dosa yang dilakukan? Bimbang disisih keluarga dan rakan-rakan??bagaimana dengan malumu kepada Allah..? mungkin ada hikmah Allah utuskan dia untuk kamu. Jika tidak kerana kehadiran bayi itu di dalam rahimmu tentu kamu masih berterusan melakukan dosa..tapi sayang,kamu tidak memandang dari sudut itu..bahkan terus melakukan dosa dan kezaliman dengan membuang atau menggugurkannya.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Q.s Al A’raf : 179)

Saya mula terfikir,salah siapa agaknya ya..??

Dari sudut lain pula,saya lihat masyarakat kita sudah ‘open minded’. Kerana itu statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih dari 257,000 kelahiran didaftarkan tanpa nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Dan sekarang setelah 2 tahun,saya pasti bilangannya semakin bertambah!

Kenapa saya berani katakan pasti?kerana di tempat saya sahaja,beberapa kali saya dengar dari orang sekeliling..”eh,anak si A bernikah hujung minggu ni,ko pegi ke? Dia tu dah mengandung….”(tidak perlu saya nyatakan berapa bulan). Tapi bila dilihat majlis walimahnya besar bagai..hem entahlah..orang sekarang dah ‘‘open minded’’. Kemudian dari yang lain pula “eh ada nampak si B tu jalan kat pekan sari, bawak anak dia”.. apabila saya bertanya mak “bila masa dia kawin mak?” “tak kawin pun”.. sedih saya mendengarnya..kerana diantaranya adalah rakan atau orang-orang yang saya kenali mereka di sekolah rendah dahulu.. bukan untuk mengaibkan sesiapa..tapi itulah realitinya dan sebagai peringatan untuk saya dan juga anda agar tidak melakukan perkara serupa.

salah siapa agaknya ya..?

Masyarakat kini yang sudah semakin “open minded” sehinggakan golongan muda tidak lagi malu mempunyai anak luar nikah? Atau ibu bapa yang tidak menyekat pergaulan bebas anak-anak mereka?

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan (yang buruk) yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Q.s. Maryam: 58)
Bagi saya punca semuanya adalah ketiadaan asas AGAMA di dalam diri. Mereka hanya mengenali agamanya berdasarkan catatan di surat beranak dan kad pengenalan. Sembahyang dan puasa jauh sekali. Bila ditanya, jawapannya ibu dan bapanya sendiri tidak sembahyang,bagaimana perlunya mereka melakukannya. Jawapan itu ibu saya dengar sendiri dari mulut kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun. Anak jiran dan diceritakan kembali kepada saya.

Saya bersyukur dan beruntung dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan agama. Kerana itu saya menjadi seperti sekarang. Islam itu cantik.. dari awal lagi islam telah mengajarkan melalui Rasulullah S.A.W cara memilih pasangan hidup hendaklah yang utamanya AGAMA! Diikuti keturunan,harta dan kecantikan.. jika sempurna agamanya,maka selamat dan berbahagialah anda. sekurang-kurangnya banyak perkara tidak baik dapat dielakkan. Sama-samalah kita fikirkan. Wallahua3lam





Dia yang tak berdosa…

15 04 2010


Dia yang tak berdosa..
Kau jadikan mangsa..
Akibat malu punya angkara..
Menutup aib terpalit di muka..

Dia yang tak berdosa..
Lahir dari nafsu durjana ibu bapanya..
Empunya akal cetek tak berharga..
Iman dicampak merata..
Agama hanya pada nama..

Apakah nyawanya tiada berharga..?
Tiada kesempatan melihat dunia..
Dunia indah ciptaan Tuhan..
Dikotori manusia tak berkesudahan..

Dia yang tak berdosa..
Kau campak merata..
Di longkang,tong sampah,tepi masjid,juga hutan belantara,
Di hurung semut juga serangga,
Di bakar bagai sampah tak berharga,
Aduh!kejamnya manusia..

Zaman jahiliah kembali lagi,
Tapi kini dasyatnya tak terperi..
Anak perempuan juga lelaki,
Menjadi mangsa si ibu sendiri.

Dia yang tak berdosa,
Bakal menjadi saksi engkau DI SANA,
Mengheret engkau ke pintu neraka,
Selagi taubat kau tak menghalangnya..





2010..

12 01 2010

salam..komen seorang teman,katanya sudah lama melodi hati sunyi tanpa iramanya..
ya memang benar,saya sendiri sebenarnya rindu untuk kembali mencoret sesuatu untuk dikongsi bersama..
sebenarnya entry 2009 juga ada yang tidak sempat saya post..saya tidak tahu mengapa jadi begitu..
adakah masa yang terlalu mencemburui atau saya yang tidak pandai membahagikan waktu..
sebetulnya internet juga salah satu puncanya..
saya kini sedang menjalani praktikal di Exim Bank, Kuala Lumpur dan menyewa di Taman Melati..tiada internet di rumah..ni pun curi2 masa dalam kesibukan di pejabat..huhu
Dua bulan setengah sebelum ini,saya di Setiu,Terengganu,menjalani training under Khazanah Nasional Berhad.i’m ex-GEMS participant..
hem..bercerita tentang Terengganu,semuanya yang tergambar hanyalah indah2 belaka…bukan saja setakat dapat makan best..banyak pengalaman baru yang dapat dari sana..[tapi makan best tu ye jgk..] huhu..
aduhai kopok lekor..termimpi-mimpi dibuatnya..hehe
Em ok la..nak cite sket apa yang dapat masa kat Suria Merang Resort tu..2 bulan setengah dok sana..
ada 13 modul yang dah belajar..antaranya :-
-Achieving personal Excellence
-professional grooming
-time management
-office mangement
-operational manegement
-Public Speaking & Presentation Skill
-Business Appreciation
-Business English
-Project Planning
-Interpersonal communication
-customer service
and paling best…-teambuilding.flying fox,rafting sume tula..
setiap pagi lak.ade aktiviti wajib..speaker corner..antara 5 hingga 6 orang akan bagi speech kat depan kelas, tajuk pilih sendri la
dan bahasa pengantaranya hanyalah english.. smua tu nak latih kita punya self confidence. emm paling tak lupa kena bagi speech masa lunch hour kat cafe.
agak susah sebenarnya untuk tarik perhatian orang yang tengah makan dengar kita punya speech.Banyak lagi kalau nak cerita pasal GEMS je.

Oklah..GEMS dan 2009 dah berlalu..realitinya 2010 dah menjelma..dah masuk minggu kedua pun..
2 hari lepas..10/01/10 genaplah umur saya 23 tahun..termenung saya memikirnya..bermacam-macam perasaan berbaur menjadi satu yang menyesakkan dada.. 23 tahun dah saya hidup kat dunia ni.
Berapa banyak perkara dah yang saya berjaya buat abah dan mak bangga dengan saya..?berapa banyak pula yang saya kecewakan mereka..? berapa banyak masa yang dah saya buang dengan sia2..?
dan yang paling utama berapa banyak ibadah yang saya dah lakukan untuk DIA?? mampukah terhapus dengan dosa-dosa yang saya lakukan secara sedar ataupun tidak selama ini..?
gerun saya memikirnya..saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita kematian.Mati kemalangan,dibunuh,lemas dan bermacam-macam lagi cara izrail mencabut nyawa..dan bila tiba saat giliran saya,mampukah saya bersedia..?
Hem harini 12/01/10..genap setahun arwah tokki pergi menghadapNYA..Tokki meninggal masa saya di Jordan..hanya bacaan ayat-ayat suci saya kirimkan untuknya.semoga rohnya tenang Di Sana..Ameen..
erm,,,tetiba saya kehilangan idea untuk mencoret..fikiran saya sudah jauh menerawang entah ke mana..tambahan pula sekarang sudah tiba masa untuk pulang.. kembali ke alam realiti,bahawa saya perlu berkejar dengan masa..
Tidak berani untuk berjanji bila saya akan ke sini lagi..harap-harapnya selepas ini saya mampu mencoret sesuatu yang lebih berharga.Teringin juga untuk berkongsi sesuatu tentang kerja saya sekarang..semoga di beri kesempatan..sehingga berjumpa lagi..daaa..





Bila Bicara Tentang ‘Mereka’..

16 10 2009

Mereka yang tidak pernah saya kenali sebelum ini..baru 2 minggu lepas saya kenali mereka. Mereka yang datang dari latar belakang yang berbeza.Berbeza segalanya.Pandangan,corak pemikiran,gaya kehidupan,malah juga ada yag berbeza agama.Tapi kami bersatu atas nama persahabatan.

Semuanya berlaku dalam 2 minggu lepas.Sebenarnya saya baru sahaja berhenti dari satu program latihan pengurusan + praktikal di Petaling Jaya.Sebetulnya saya harus menghabiskan 2 bulan belajar dan 1 bulan praktikal tapi memandangkan ada 1 lagi peluang yang lebih baik untuk saya,maka saya berhenti.Ahad ni saya akan ke Setiu…

Emm..berbalik tentang ‘mereka’.Cuma 2 minggu saya dapat bersama mereka.Jika dahulu saya tidak berpeluang untuk bercampur dengan orang-orang seperti ‘mereka’.Saya hanya bersahabat dengan orang-orang yang dalam lingkungan saya sahaja.Yang datang dari sekolah agama..Jadinya corak pemikiran,gaya pemakaian,pandangan dan sebagainya hampir serupa,walaupun tidak semua.Tapi 2 minggu lepas merubah segalanya.Saya mengenali ‘mereka’..Itupun atas kehendak DIA..Ada hikmah disebaliknya..

Perlukah sebenarnya saya bercerita tentang ‘mereka’..??Bukan untuk mengata @ bercerita membuka aib orang,tapi sekadar untuk membuka mata orang-orang seperti saya,yang tidak pernah bergaul dengan orang-orang seperti ‘mereka’ sebelumnya.

Siapa ‘mereka’…??

‘MEREKA’…ada kaki clubbing,punya anak luar nikah,tidak balik malam (tidur rumah pakwe),bertudung hanya sekali sekala..bahasa2 percakapan mereka yang agak malu untuk disebut..malah ada juga yang berbeza agama dengan saya,tapi bagus akhlaknya,lembut tutur katanya,dan banyak lagi tentang ‘mereka’..Tapi..mereka boleh berkawan baik dengan saya walaupun kami semua berbeza.Semasa saya bersolat @ mengaji,mereka menghormatinya walupun mereka tidak melakukannya..

Saya terharu pada hari kedua terakhir saya bersama mereka.Mereka ajak makan luar beramai-ramai lepas habis kelas,tapi memandangkan saya sedang berpuasa,jadinya ditangguhkan selepas waktu berbuka.Kemudian ada yang bertanya saya..”eh nak makan terus ke nak sembahyang maghrib dulu?” pastu salah seorang antara mereka menjawab, “biar la dia smayang dulu,nanti terlepas waktu maghrib”. Almaklumlah dah makan ramai-ramai pastinya memakan masa yang lama..

Nampak tak apa yang cuba saya gambarkan disini..Betapa ‘mereka’orang-orang yang jika dilihat dari luarannya seorang yang mengabaikan ajaran agama @ kurang dari segi agamanya menghormati pegangan hidup seseorang.Mereka tidak mahu saya jadi seperti mereka.Semoga Allah memberi mereka petunjuk.

Saya hanya diberi kesempatan oleh DIA untuk 2 minggu sahaja bersama ‘mereka’..tapi itu sudah cukup untuk buat saya mengenali dengan lebih dekat orang-orang seperti mereka.Sekurang-kurangnya selepas ini saya tidak terlalu terkejut dan lebih bijak berhadapan serta berbicara dengan orang-orang seperti ini.
Realitinya..itulah rakyat Malaysia..semoga anda juga bersedia..