“Pergaduhan ilmu”

29 12 2010


Tengahari semalam,rumah kami dikunjungi oleh tok dan keluarga mok de (mak saudara). Memang meriah, setelah makan tengahari dan solat, bermulalah aktiviti rasmi bila berkumpul ramai-ramai. Borak! Saya masih di bilik ketika mereka riuh bercerita tentang sepupu(anak mok de) yang baru menamatkan zaman bujangnya kelmarin. Sesekali terdengar mereka ketawa beramai-ramai.. apa lagi kalau bukan melihat gaya pok de bercerita. Memang bersemangat! Lepas satu cerita, cerita yang lain pula keluar..saya hanya keluar ketika jarum jam merangkak ke angka 4. rancangan asalnya mereka ingin bertolak selepas solat dan berehat sebentar, namun hujan yang turun tiba-tiba membantutkan hasrat. Aktiviti berborak menjadi lebih rancak apabila entah macam mana muncul topik aqiqah yang dilaksanakan oleh arwah tok ki untuk anak mereka pada majlis perkahwinan ibu saudara satu waktu dahulu. (Ketika saya masih di zaman kanak-kanak). Lama kelamaan sembang-sembang itu menjadi seperti gelanggang debat pulak di antara mok de dan pok de.

Masalah timbul apabila soal wang yang diberikan oleh tetamu pada majlis perkahwinan tersebut atau pok de sebut “ngeler” (loghat terengganu @ klate saya kurang pasti). Pok de orang Besut. Cerita asalnya begini : majlis yang dirancang sebenarnya adalah majlis perkahwinan ibu saudara,tetapi pada saat-saat akhir, arwah tok ki membuat keputusan untuk melakukan aqiqah sekali untuk sepupu. Pada majlis tersebut arwah tok ki ada menerima duit hadiah @ sedekah (ngeler) dari tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan tersebut.Mok de berkeras mengatakan bahawa wang tersebut tidak boleh diterima, disebabkan daging yang digunakan adalah sebahagiannya daging Aqiqah. sebaliknya pok de juga berkeras mengatakan boleh diterima wang tersebut kerana orang memberi atas dasar majlis perkahwinan bukannya kenduri Aqiqah.

Gelanggang debat semakin hebat dengan idea dan pendapat dari kedua-dua pihak . yang lain hanya memerhati. Tok yang sedari tadi memerhati saya umpamakan seperti speaker dewan apabila cuba untuk meleraikan “pergaduhan ilmu” tersebut. Kebetulan saya turun untuk membuat minuman petang, dan turut dipanggil untuk melibatkan diri dan menjadi hakim. Huhu. Buntu seketika.. pendapat mok de juga betul..tidak boleh diterima wang kenduri tersebut tetapi pendapat pok de juga seakan betul.. orang memberi atas niatnya untuk kenduri perkahwinan dan bukannya kenduri Aqiqah. Lagipun pok de menambah mengatakan bahawa Aqiqah itu tidak dirancang dari awal dan orang tidak tahu akan hal tersebut. (tapi bagaimana pula halnya dengan orang yang menerima wang? Mungkin arwah tok ki pun lupa akan hal tersebut.) hem sungguh buntu. Pada mulanya saya seakan menyebelahi pendapat pok de..

Teringat pula kata-kata Dr Bani Isa ketika di Jordan dahulu apabila kami lupa apa yang di ajarnya “Al 3ilmu fi-al kutub laisa fi-as sudur” (ilmu itu di buku, bukan di dada)-sindiran ni- hehe.(tidak ada kaitan dengan soal Aqiqah). Saya kurang pasti sebenarnya pendapat yang telah saya keluarkan kepada mereka yang berdebat tadi.Tergerak hati saya untuk mencari jawapan di internet.. segera saya naik ke bilik dan membuka laptop. Alhamdulillah Allah permudahkan.. berjumpa jawapan dari komen dan soal jawab orang ramai tentang masalah seperti ini jugak. Lihat di sini.

1)jawapan yang menyokong mok de: Jawapannya adalah haram menerima wang (ngeler) yang diberikan tetamu pada majlis tersebut.

2) jawapan yang ni juga ke arah mok de tetapi jawapan pok de juga bole digunakan sedikit. iaitu tuan rumah sepatutnya jemput orang atas dasar kenduri kesyukuran,bukannya kenduri kahwin. Kerana masyarakat telah dapat menerima secara uruf (adat), kalau kenduri kesyukuran ,tidak perlu dihulur-hulurkan wang lagi sebagai hadiah. Kalau kenduri kahwin biasanya orang hulur wang yang terbaik ialah jemput orang atas dasar kenduri Aqiqah :-

Walaubagaimanapun, benda dah berlaku. Anggaplah pemberian wang itu hadiah perkahwinan, bukannya bayaran atas jamuan daripada daging aqiqah kerana ianya bukan untuk dijualbeli, tapi menandakan kesyukuran kita atas kelahiran anak.

Dari pergaduhan ilmu tersebut kami membuat rumusan bahawa bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul, eloklah kiranya diasingkan terus majlis kenduri kahwin dengan majlis kenduri Aqiqah. Jika tidak dapat dielak selaku tuan rumah, beritahu terus kepada tetamu yang menghulurkan wang bahawa kenduri itu menggunakan daging Aqiqah. Walaupun situasi ini nampak seolah ‘simple’ tetapi masih ramai yang kurang faham mengenainya.. sekian..

Advertisements




Wanita, adat & agama..

31 10 2010


Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah.. muncul juga kesempatan untuk mencurahkan idea setelah sekian lama menyepi..kuat juga virus M ni bersarang. Rasa malas yang amat sangat untuk menghadap laptop berjam-jam. Saya lebih suka menghabiskan waktu dengan membaca buku,tapi menyampaikan sesuatu yang baik itu adalah lebih dituntut. Kehidupan yang baik bukan hanya untuk diri kita sahaja,tapi itu lah..perlu lebih jihad untuk itu. Seperti biasa,saya lebih suka mencoret tentang hal yang berkaitan dengan saya, WANITA! Perkataan yang pendek tapi luas cerita mengenainya.

Wanita yang baik itu pada 3 perkara :

1) Cepat nikahnya.
2) Rendah maharnya
3) Ramai anaknya

Nilai seorang wanita itu terletak pada layanan suami selepas nikahnya. Jika dia seorang yang baik pasti layanan suaminya juga akan baik.InsyaAllah.. Berusahalah untuk jadi lebih baik jika terasa masih banyak kekurangannya. Proses belajar itu kan sepanjang hayat. Allah pasti menyukai hambanya yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan.

Menyebut tentang ciri kedua berkaitan mahar, yang mana ianya datang serentak dengan adat kebiasaan masyarakat melayu iaitu wang hantaran. Pasti ramai telah menyedari fenomena masyarakat kini yang seolah-olah berlawan dalam meletakkan harga.Seolah-olah siapa yang lebih tinggi wang hantarannya itulah yang dipandang tinggi dan berharga. Apakah mereka fikir pernikahan itu satu jual beli?semakin tinggi harganya semakin banyak memperolehi keuntungan? Jika begitulah tanggapannya,bermakna mereka telah merendahkan martabat mereka sendiri tanpa disedari. Sebagai seorang wanita saya juga malu mendengar ungkapan berbunyi “nak buat macam mana, dah keluarga perempuan tetapkan macam tu,terima jelah.. kita usahakan cari duit jela”. Saya juga tidak pasti bagaimana sebenarnya konsep adat yang diguna pakai dalam masyarakat melayu sekarang ini. Bukankah sebenarnya hantaran ditetapkan oleh pihak lelaki mengikut kemampuan mereka.? Memanglah tidak menjadi kesalahan jika pihak lelaki mahu memberi wang hantaran yang tinggi sebagai saguhati tetapi pihak perempuan juga boleh meminta sekadar yang diperlukan sahaja dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah, selain dapat menjaga hati dan tidak membebankan pihak lelaki. Hantaran adalah hadiah ikhlas dari pihak lelaki manakala mahar ditetapkan oleh pihak perempuan yang mana ianya wajib bagi pihak lelaki menunaikannya. Bukankah perempuan yang baik itu adalah yang rendah maharnya.? Jadi seboleh-bolehnya janganlah menyusahkan pihak lelaki untuk menunaikannya. Ianya hanya akan memakan masa dan mendatangkan banyak masalah lain. Rasulullah S.A.W sendiri menyarankan agar memudahkan urusan pernikahan (mempercepatkan walimahnya).

Begitu juga dengan trend baru masyarakat alaf baru kini. Majlis pertunangan di buat sebegitu ‘grand’ dan glamour. Malah jika dilihat hampir menyamai majlis walimahnya,dari solekan, pakaian yang berlebih-lebihan, sesi fotografi, jemputan, serta khemah-khemah yang di pasang di luar rumah. Mungkin ada yang terkeliru samada itu majlis pertunangan atau pernikahan. Apa sudah jadi? Di mana hilangnya konsep pertunangan yang sebenarnya? Bukankah pertunangan itu sepatutnya menjadi majlis tertutup keluarga yang tujuannya untuk berbincang tentang hal-hal pernikahan yang akan berlangsung, samada mahar, tarikh pernikahan, dan beberapa hal lain yang dirasakan perlu.

Majlis pertunangan tidak elok dihebahkan, bagaimana jika majlis pernikahan yang dirancang tidak jadi diteruskan atau senang cakap tidak ada jodoh antara keduanya.? Sedangkan ia sudah menjadi buah mulut masyarakat. Bukankah itu akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Nauzubillah. Bukan itu yang kita minta tapi boleh jadi, tidak mustahil untuk berlaku. Manusia hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Disebabkan itulah majlis pertunangan diunjur dilakukan secara sederhana dan dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

Islam itu sungguh indah, tapi mengapa penganutnya sendiri yang merosakkan keindahannya? Memanglah manusia akan mula bercakap jika terlihat sesuatu yang dirasakan berbeza, bukan berbeza dari segi agama tapi sedikit berbeza dari adat dan kebiasaaan manusia lain. Mengapa perlu difikirkan apa yang manusia kata tanpa memikirkan apa yang Allah kata? Manusia tidak akan pernah berhenti untuk bercakap sehinggalah matanya terpejam atau ditakdirkan Allah menjadi bisu.

Dari Saidatina Aisyah r.a beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : “ Barangsiapa yang mencari rela (redha) Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dia dicukupkan oleh Allah dari perbelanjaan manusia dan barangsiapa yang mencari kemarahan Allah dengan rela manusia, nescaya dia diserahkan Allah kepada manusia.”
Fikir-fikirkan.





KEMBARA PENCARIAN CINTA RABB DI HATIKU…

28 07 2010


SIRI 2…

Sudah lama benar saya tidak bertandang ke Melodi Hati.. teringin sekali untuk mencoret kisah kembara saya seterusnya, tapi seringkali tidak kesampaian dek kerana krisis kerjaya yang sedang melanda. Walau bagaimanapun saya masih utuh di sini..tika ujian Allah menduga. Kadangkala saya juga tidak menduga bahawa saya boleh menjadi setabah sekarang. Alhamdulillah..Allah menguatkan saya. Saya percaya Allah akan membantu saya disamping usaha-usaha saya yang berterusan.

Banyak sungguh perkara misteri yang berlaku dalam hidup khususnya pada diri saya. Sukar untuk dihuraikan satu persatu..

Setelah lebih 2 minggu misi mujahadah saya bermula, saya mula nampak akan perubahannya.. pada mulanya saya tidak perasaan.. kini saya sedari, minat dan kecenderungan saya kini telah beralih arah.

Pada awalnya saya mulakan misi mujahadah saya dengan menjauhi hubungan dengan lelaki, tapi Allah memelihara saya lebih dari itu. Tiada lagi minat saya untuk menonton drama atau cerita2 hiburan yang banyak dilayarkan di skrin tv. Jika rakan-rakan serumah menonton pun, saya tiada hati untuk mengikutinya, hanya pandang kosong atau saya menggantikannya dengan menyibukkan diri iron baju, memasak atau membaca. Jika ada peluang saya menukar kepada channel Astro Oasis. Satu-satunya channel yang amat saya gemari. Rancangan dan paparan yang berunsurkan islamik. Alunan zikir yang menenangkan hati dan saya bersyukur mempunyai rakan-rakan yang memahami. Kadang-kadang riuh rumah kami dengan suara paduan kami mengikuti alunan zikir di tv.

Rumah sewa ini baru kami huni selama 5 minggu. Sebelumnya kami bertiga menyewa di tempat berasingan. 6 minggu lepas,ketika pertama kali mengunjungi rumah ini untuk survey, kami terus tertarik hati. Saya amat menyukai pemandangannya. Buka sahaja tingkap di ruang tamu, bangunan pertama yang boleh di lihat adalah masjid. Ya! Sebuah masjid yang tersergam indah serta boleh saya katakan makmur dengan jamaahnya. Bangunan ini betul-betul berhampiran dengan masjid. Dari tingkat 13 ini, saya boleh menyaksikan dengan jelas pemandangan indah ketika matahari terbenam. Satu aktiviti yang amat saya gemari. Memerhatikan alam!

UJIAN

Dalam keindahan memburu rasa cinta dari Yang ESA, kita tetap tidak terlepas ujian dariNYA. Itu hakikat yang kita tidak boleh lari darinya,kerana itu memang janjinya seperti dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud “ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman”; sedang mereka tidak diuji?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-NYA tentang orang-orang yang berdusta.”

Ujian tandanya Allah sayang pada kita..mengapa? kerana mungkin terlalu lama kita menyepikan diri dari mengingati Allah. Allah rindu mendengar tangis rayu kita kepadaNYA.. mendengar semua rintihan dan keluh resah kita kepadaNYA..mendengar semua pengaduan kita.. sungguh Allah tidak pernah penat untuk itu semua. Maha Suci Allah.

“Dan apabila hamba-hambaKU bertanya kepadamu mengenai AKU maka (beritahu kepada mereka) : sesungguhnya AKU (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKU (dengan mematuhi perintahKU), dan hendaklah mereka beriman kepadaKU supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Al-Baqarah {2:186}]

Ketika ditimpa ujian,manusia amat mudah melatah. Terkadang meratapi sendiri mengapa kita yang diberi ujian sedemikian rupa. Belum pun berusaha terus mengalah,merintih,merayu agar ujian diringankan. Usah terlalu bersoal,mengapa kita yang menjadi pilihan. Seeloknya beristighfar terlebih dahulu. Tenangkan diri. Ada berbagai-bagai cara yang boleh kita praktikkan. Ambillah masa sebentar dengan duduk beristighfar, pandanglah alam semesta, langit, awan,pohon-pohon menghijau. Cukuplah 2 atau 3 minit untuk meredakan denyutan jantung yang berdegup pantas sebentar tadi dek kerana menahan marah, sedih atau apa jua perasaan yang hadir bersama ujian yang menimpa. Ya! Sebagai manusia normal, amat susah untuk kita membuat sebarang keputusan dalam masa yang amat singkat dan jiwa yang bercelaru. Oleh itu, berwudhuklah dan bacalah Al-Quran, insyaAllah rasa ketenangan sebentar tadi akan berterusan.

Ingatlah Allah telah berfirman dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud :“ Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (yang mendatangkan iktibar);dan sesungguhnya Kami tetap menguji (hamba-hamba Kami). {23:30}

“Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan disisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya. (Sekalipun demikian, orang-orang yang ingkar tidak juga berfikir) bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan, lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini; dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya” {23:62-63}

Oleh itu sebagai manusia wajib kita mentaati segala perintah Allah sebagai tanda kita bersyukur kepadaNYA. Mohonlah keampunan atas segala dosa yang kita lakukan samada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Entah bila kita akan dipanggil olehNYA. Sering-seringlah mengingati mati,kerana itu akan mendekatkan kita denganNYA. Tapi…itulah yang jarang kita lakukan.Terkadang terlalu banyak kita bergelak ketawa dalam kehidupan seharian. Saya tidak berkata kepada sesiapa, itulah diri saya yang dahulu. Semoga Allah mengampuni saya. Kerana itu,buatlah perubahan sebelum terlambat. Jauhi dan tinggalkanlah perkara-perkara yang kita rasakan bakal merosak @ mencacat celakan ibadah-ibadah seharian kita kepadaNYA.

Allah telah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:” jika mana-mana hambaKU mentaatiKU, maka AKU redha kepadanya, bila AKU redha kepadanya maka akan AKU berkati seluruh hidupnya, sesungguhnya keberkatanKU tidak ada penghujungnya, dan jika hambaKU melakukan maksiat kepadaKU, AKU marah kepadanya, bila AKU marah kepadanya, maknanya AKU melaknatnya. ”





SIRI: Kembara Pencarian Cinta RABB Di Hatiku..

21 06 2010


Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).(Q.s: At-Taubah:24)

SIRI 1

Bismillahirrahmanirrahim…selawat dan salam buat rasul junjungan mulia Muhammad S.A.W,kaum kerabat,para sahabat,alim ulama’,tabi’ tabi’een,serta yang mengikut keseluruhannya.

Entry kali ini sebenarnya agak malu untuk saya terbitkan kerana ianya agak peribadi, tapi kerana satu niat bahawa saya ingin mengajak anda bersama-sama saya melaksanakan misi kembara ini, makanya saya ketepikan perasaan malu. Bercerita melalui pengalaman sendiri, yang mana sedikit sebanyak mungkin ada persamaan dengan anda lebih realistik. Berbanding dari yang hanya melarang tanpa pernah melalui situasinya,agak berbeza dan sukar diterima oleh sesetengah golongan. Alasan mereka..” ahh..dia tak pernah rasa@ alami,boleh la cakap,kalau kena batang hidung sendiri baru lah tau” saya akui, perkara yang melibatkan hati dan perasaan amat kompleks dan sensitif sifatnya. Oleh kerana itu, larangan berupa menjauhi hubungan lelaki dan perempuan ajnabi dipandang sepi dan amat liat untuk kita menyahut terutama bagi golongan yang ‘tahu’. Alasannya “ aku boleh kawal lagi” “aku tahu jaga batas-batasnya” dan beberapa macam alasan lagi. Ya mungkin kita boleh terselamat dari melakukan dosa besar seperti zina perbuatan dengan sebab kita ‘tahu menjaga batas-batasnya’ , Tapi persoalannya mampukah kita menjaga zina hati.??? Manusia itu Allah kurniakan dengan nafsu. Jadi tidak mustahil dalam kita ber’sms’,ber’chatting’ atau ber’calling’ itu kadang-kadang kita ter’rindu’ dengan sms-sms biasa si dia, atau ter’rindu’ dengan ayat-ayat yang digunakan semasa berchatting atau parah lagi ter’rindu’ suaranya ketika di telefon. Nauzubillah.. saya tidak mahu menyebut tentang apa hukum, besar@ kecil dosanya, kerana kita (saya dan anda) adalah dari golongan yang ‘tahu’ .

Aku tahu Cinta (Rabb) Itu ada,
Tapi tak ku temui ia di mana,
Tersirna bak fatamorgana,
Bila kuhampiri ia menghilang jua.

Aku selam ke lubuk hati,
Mengapa ia berlalu pergi..?
Hilang dan muncul silih berganti,
Seolah petanda dari Illahi..

Ku pandang jauh ke dasar qalbu,
Mengharap jawapan segera bertamu,
Lama kunanti baru ketemu,
Inilah dia rupanya kisahku..

Saya mengenali seorang adam 2 tahun lalu. Kami berkawan baik. Secara luaran dia memang baik dan saya percaya di dalamnya juga dia baik. Apa tujuan saya berkawan dengan sang adam? Sejujurnya saya mahu mencari calon peneman hidup. Tapi ini bukanlah bermakna saya akan menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat. Persedian awal cuma. Saya seorang yang setia dalam apa bentuk sekali pun. Jika saya sudah suka pada sesuatu saya akan setia padanya. Sebagai contoh, kasut dan beg . saya tidak punya koleksi yang banyak dalam satu-satu masa.selagi ianya boleh dan selesa di guna,saya akan menggunakan semaksimumnya. Ini bukanlah bermakna saya kedekut,tapi saya tidak mahu membazir dalam membeli kerana saya tahu saya hanya akan menggunakan yang sama sahaja walaupun saya mempunyai pilihan lain. Begitu juga dengan kebanyakan perkara lain dalam hidup saya. Termasuklah dalam hal ‘persahabatan’ dengan lelaki. [saya pernah terbaca,sebenarnya tiada istilah persahabatan antara lelaki dan perempuan]. Saya hanya berkawan baik dengan seorang lelaki sahaja dalam satu-satu masa. Matlamat dari persahabatan ini hanya satu yang mana telah saya nyatakan di atas tadi. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk sekadar bersuka ria dan mencari ramai kenalan dari kalangan kaum adam ini. [ pasti ramai kaum adam yang takutkan komitmen kurang senang membaca penyataan saya ini].

Di mana bermula

Berbalik kepada kisah adam kenalan saya, saya mula mengenali kaum adam [selain mahram] ketika saya berumur 18 tahun. Kesemuanya adalah rakan sepengajian saya,dalam kursus yang sama. Saya amat jarang berbual mesra dengan mereka kerana saya seorang yang pemalu. Dunia remaja & persekolahan saya dikelilingi oleh kaum hawa. Kalau pulang bercuti juga tempat saya hanyalah di rumah. Bagi saya rumah adalah tempat paling selamat buat saya. Saya hanya akan keluar jika ada yang menemani.

Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”

Perkenalan saya dengan seorang adam bernama S ketika saya berusia 19 tahun. Dia seorang yang baik dan ada pendidikan agama yang sempurna. Saya tidak mengenalinya secara terus. Kami hanya berhubungan melalaui sms dan beberapa kali panggilan telefon. Bagaimana saya begitu percaya kepadanya? S dikenali oleh ramai kawan-kawan lelaki dan perempuan sekelas saya. Bahkan kawan baik S sendiri juga sekelas dengan saya. S pernah bersekolah menengah dengan mereka dan perilaku baik dan kisah hidupnya di akui oleh semua yang mengenalinya. Dia tidak mempunyai ibu dan ayah dan hanya menjaga neneknya yang uzur di kampung. Walau bagaimanapun dia seorang yang bijak dan merupakan pelajar terbaik sehingga melayakkan dia menyambung pengajian dengan mudah.
Jika dahulu hampir-hampir saya fikir S adalah lelaki yang dijodohkan untuk saya sehinggalah dia memilih seorang wanita lain dengan tujuan untuk membimbing wanita tersebut ke pangkal jalan. Walaupun saya agak sedih tapi saya redha kalau itu tujuannya dan semoga Allah mengabulkan niatnya. Saya percaya ada hikmah disebaliknya. Kemudian kami masih berkawan baik dan dia banyak menasihati saya dalam banyak perkara. Kali pertama dan terakhir saya bertemunya adalah di KLIA pada hari saya berangkat ke luar negara.

Adam kedua bernama R yang hanya saya kenali melalui internet. Saya dan kawan-kawan saya mengenali kawan-kawan R secara beramai-ramai. Dia mahu serius tapi saya tak boleh terima kerana beberapa sebab. Saya meneliti beberapa perkara tentangnya termasuklah dengan siapa dia berkawan dan pengetahuan agamanya. Bagi saya tidak ada yang serius melainkan ikatan pernikahan.

Adam ketiga yang saya ceritakan di awal tadi. Telah saya kenali selama 2 tahun. Bagi saya tempoh tersebut sudah cukup untuk dia mengenali saya. Dia kenalan rapat dengan teman sekuliah saya sejak 4 tahun dulu. Jadi jika dia masih belum jelas tentang saya seeloknya dia mendapatkan maklumat dari teman-teman saya. Itu lebih baik.

Kini sudah tiba masanya saya menyelesaikan misi saya yang tertangguh sebelum ini. Misi meninggalkan dunia khayalan siapakah ‘adam’ yang ditakdirkan untuk saya. Paling utama, Misi mewujudkan hanya cinta RABB di hati. Dulu misi saya tertangguh kerana saya bimbang bayangan saya hilang dari ingatan sang adam kerana dia punya ramai hawa di sekitarnya. Tapi saya lupa bahawa jodoh itu Allah yang tentukan. Jika dia memang jodoh saya, biarpun kami tidak saling berhubungan, pasti ada jalannya Allah temukan kami suatu hari nanti. Saya lupa semuanya kerana dibayangi ketakutan hilangnya dia yang saya rasakan mampu menjadi imam buat saya nanti. Astaghfirullah.. di mana kebergantungan saya pada Allah?

Dan kerana itu baru saya sedari mengapa saya tidak benar-benar merasai sepenuhnya keagungan cinta RABB di hati saya. Ia timbul dan tenggelam. Pada satu-satu masa,bila saya bersendirian dengan hobi saya( memerhati alam) saya dapat rasa keagungan cinta Rabb itu. Suatu rasa yang sukar digambarkan, ketenangan, sayu,rindu,ta’jub semuanya bercampur dan beralun lembut di hati. Tapi bila terlalai dengan dunia saya,tiada lagi rasa-rasa indah itu. Ya, saya ketawa dengan jenaka teman-teman, kadang sedih,marah, sedikit cemburu atau beberapa emosi lain yang sering berlegar dalam dunia manusia. Tapi untuk apa semua itu? Jika saya dapat rasa perasaan yang lebih indah hasil dari kecintaan sepenuhnya pada Rabb mengapa saya perlu memilih yang lain kan?

Mulai hari ini secara rasmi bermulalah kembali misi saya. Buat adam yang dimaksudkan,saya percaya kamu akan mengerti mengapa saya menjauhkan diri. Perhubungan lelaki dan perempuan ajnabi dengan tiada tujuan yang jelas adalah tidak dibenarkan walaupun dalam istilah persahabatan. Buat anda yang sedang membaca,saya mengajak anda bersama-sama saya menyertai misi kembara ini. Saya tahu ianya bukanlah mudah seperti yang disangka. Pengorbanan hati dan perasaan,nafsu dan keinginan. Kegembiraan,keceriaan dan kebahagiaan sementara yang di rasai tika ini, demi satu janji pada diri, mencari redha Illahi.Saya harapkan doa anda semua mengiringi saya. Semoga saya dan anda semua di beri kekuatan jiwa. Ameen.

“Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

p/s: ketika entry ini di publish, misi saya telah pun bermula seminggu yang lalu..





Untukmu Wanita…

31 05 2010


Bismillahirrahmanirrahim …Salam sejahtera dan selamat menjadi insan yang paling bahagia.

Untukkmu wanita…walaupun tajuknya agak khusus untuk wanita tetapi kaum adam juga boleh membacanya. Mungkin boleh dijadikan nasihat untuk adik atau kakak yang bakal mendirikan rumah tangga.

Kisah ini sebenarnya agak popular dan telah saya baca ketika masih di bangku sekolah juga di ulang baca melalui buku ‘motivasi menjadi wanita paling bahagia’ karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni ,pengarang buku best seller ‘la tahzan’(jangan bersedih).

Diceritakan pada zaman dahulu seorang ibu dari bangsa arab bernama Umamah binti Harith memberi nasihat kepada anak perempuannya , Umu Iyas binti Auf,pada malam pernikahannya. Di antara nasihat-nasihat beliau ialah :

“Anakku,sejak malam ini engkau telah memisahkan diri dari suasana dan lingkungan asalmu. Kini engkau telah meninggalkan kehidupan di mana engkau membesar. Seandainya seorang perempuan tidak memerlukan seorang suami kerana ibu bapanya menanggung segala keperluannya atau kerana kasih sayang ibu bapanya yang terlalu kuat kepadanya,maka ia adalah wanita yang tidak memerlukan suami. Bagaimanapun, engkau perlu ingat bahawa wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk wanita.

Nasihat pertama dan kedua : Sepatutnya engkau merendah hati dengan bersikap menerima dan sentiasa mendengar dan taat kepadanya.

Nasihat ketiga dan keempat : Jagalah kebersihan sesuatu yang boleh tercium oleh hidung dan ternampak oleh mata suamimu. Jangan sampai ia melihat keburukan ada pada dirimu, dan jangan sampai ia menciummu kecuali engkau dalam keadaan wangi.

Nasihat kelima dan keenam : Hendaklah engkau sentiasa menyediakan makan dan waktu tidur baginya. Lelaki yang lapar akan mudah marah, dan lelaki yang kurang tidur akan cepat melenting.

Nasihat ketujuh dan kelapan : Jagalah harta, maruah dan anak-anaknya. Kemampuan menguruskan harta adalah satu kelebihan dan kepandaian mengurus dan mendidik anak-anaknya adalah satu kewajipan yang terpuji.

Nasihat kesembilan dan kesepuluh : Janganlah sekali-kali melawan perintahnya dan jangan pula mendedahkan aibnya. Jika engkau menentang perintahnya, maka hatinya akan tersinggung. Jika engkau mendedahkan aibnya, bermakna engkau merendahkan harga dirinya.

Dalam pada itu, janganlah bergembira di hadapannya ketika ia sedang bersedih. Dan jangan pula bersedih ketika ia dalam keadaan gembira.

Pedoman Hidup
Sebenarnya kebahagiaan anda bukan ditentukan orang lain,tetapi ditentukan oleh anda sendiri.
“Esok matahari memancarkan sinarnya dan jiwa akan berbahagia”

Semoga bermanfaat.





Alahai si bujang…

22 05 2010


Bismillahirrahmanirrahim.. salam sejahatera dan semoga kita semua sentiasa bahagia dan dilindungi oleh Allah..

Alahai si bujang…haa kenapa pula tiba-tiba saya menulis dan bercerita tentang si bujang ni? Apa yang terjadi? Bujang yang mana satu ni? Ok2.. tak perlulah saya berteka-teki.Sebenarnya sejak akhir-akhir ni ramai antara si bujang kenalan saya yang menamatkan zaman bujangnya dan list ‘sedang menunggu giliran’ juga bertambah. Bagus la macam tu kan.. menyempurnakan sunnah rasul.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya, “Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku”.

Kepada yang dah lepas tu, alhamdlulillah..dan didoakan agar kalian berjaya menempuh alam baru yang tentunya banyak berbeza dengan sebelumya. Ingatlah akad nikah yang kalian lafazkan bukanlah setakat menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan tapi juga sebagai janji kalian kepada Allah, memikul amanah, membina sebuah rumahtangga yang barakah, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, serta masyarakat berilmu yang bicaranya penuh hikmah.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. ( Q.S SURAH AL-FURQAN: 74)

TANGGUNGJAWAB

Ikatan pernikahan tandanya bermula satu pertambahan baru dalam nilai tanggungjawab kita. Jika dahulu mungkin kita hanya bertanggungjawab pada diri kita, kedua ibu bapa atau adik beradik sahaja. Tapi kini tanggungjawab kita sudah bertambah kepada ahli baru. Samada tanggungjawab suami kepada isteri atau sebaliknya.
Pernikahan adalah untuk melengkapkan sebuah kehidupan, seterusnya menghampiri kesempurnaan. Kesempurnaan mutlaq hanyalah milik Allah SWT. Lelaki dan perempuan (suami isteri) diciptakan untuk saling melengkapi, bermakna kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru terimalah kekurangan pasangan anda dengan redha dan berlapang dada. Berazamlah untuk memberi yang terbaik buat mereka. Orang yang paling bahagia ialah orang dapat memberi kebahagiaan kepada orang lain.

PEMILIHAN PASANGAN

Saya pasti kita semua tahu dalam etika pemilihan pasangan. Pastinya kita inginkan insan yang terbaik,menjadi teman sepanjang hayat. Justeru pemilihan pasangan menjadi begitu terperinci dan teliti. Tapi dalam ketelitian itu juga kadangkala kita salah membuat percaturan. Mungkin kerana kita terlalu harapkan kesempurnaan. Mencari-cari sesuatu yang lebih baik.. kadangkala kita telah terjumpa permata yang terbaik di awal perjalanan lagi,tapi dek kerana ingin mngejar kerlipan berlian di hujung perjalanan, permata suci kita tinggalkan. Lalu pabila tiba di hujung jalan, hanyalah kristal yang kelihatan.

Islam telah memberi garis panduan dalam pemilihan pasangan. “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan”.

Pada pandangan saya, satu lagi ciri yang ramai orang pentingkan dalam memilih pasangan adalah KEMATANGAN. Tapi..sejauh mana kita menilai seseorang itu sebagai matang? Atau cukup matang? Bagi saya matang adalah subjektif dan sukar untuk diukur. Kita tidak boleh melihat seseorang itu matang atau tidak hanya disebabkan wajah, perlakuan atau gayanya pada satu-satu masa. Boleh jadi seseorang itu punya sebab tertentu mengapa perlakuannya seperti itu. Contohnya seseorang yang sentiasa kelihatan happy go lucky. Adakah boleh kita katakan dia itu tidak matang? Dan seorang yang kelihatan cool sepanjang masa itu matang? Adakah semudah itu kita mengukur tahap kematangan seseorang? Dalam hal ini saya agak kurang bersetuju. Boleh jadi sikap dan perlakuannya berbeza di hadapan kita dan yang lain-lainnya mengikut keadaan. Dalam kata mudah,dia tidak berkeadaan begitu setiap masa. Dia meletakkan emosinya berbeza-beza mengikut kepada dengan siapa dia sedang berhadapan. Sebenarnya di sinilah letaknya kematangannya.

Untuk mengukur tahap kematangan seseorang, kita perlu melihatnya dalam semua keadaan, masa dan persekitaran. Matang itu satu proses yang tidak berhenti. Selalunya ia berubah seiring dengan perubahan masa dan peristiwa yang dilalui serta sejauh mana kita menjadi ‘dewasa’ dengannya.
Bagi saya, matang yang sebenarnya juga adalah bergantung pada tahap ‘kedewasaan’ seseorang pada hal-hal agama. Sejauh mana dia faham dan mengerti bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk akhirat dan hasilnya akan dituai di akhirat kelak. Kerana itu dia berusaha menghasilkan tanaman yang terbaik juga menjaga agar tanamannya tidak diserang serangga perosak. Seluruh kehidupan kita jika dikaitkan dengan agama,insyaAllah akan bahagia. Ingatlah Allah dalam kesepian dan keramaian.
Sekian.





Salah siapa..??

22 04 2010


Bismillahirrahmanirrahim…selawat dan salam buat rasul junjungan Muhammad S.A.W..kaum kerabat baginda,para Tabii3een, serta seluruh umat islam yang sedang berjihad dengan harta dan jiwa mereka memerangi segala bentuk kezaliman manusia,nafsu dan juga syaitan..

“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, Kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.” (Q.s. an-Nisa’: 76).

Tahniah kepada anda yang telah berjaya dan sedang mencuba.tapi diingatkan kepada anda dan diri saya khasnya agar tidak berhenti dari jihad ini kerana nafsu itu degil sifatnya dan syaitan itu tidak akan berhenti menyesatkan manusia.itu janjinya pada Allah.

“Ia (syaitan) berkata, ‘Ya Tuhanku, Kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan hal-hal di muka bumi terlihat baik bagi mereka (manusia) dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka’.” (Q.s. al-Hijr: 39-40).

Kenapa saya bicara tentang nafsu dan juga syaitan..? em kerana isu kali ini adalah berkait rapat dengan keduanya..2@ 3 minggu kebelakangan ini isu yang hangat dipaparkan di dada akhbar atau dibincangkan di radio dan televisyen adalah berkaitan dengan pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak hingga menyebabkan kematian. Ini bukanlah isu baru tapi telah berakar umbi sekian lama hingga keadaannya sekarang adalah amat parah.

Anak adalah anugerah Allah,lalu mengapa mesti dibuang atau didera..?adakah kerana dia hadir tanpa dipinta? Atau belum tiba masanya? Malu? Takut diketahui orang tentang dosa yang dilakukan? Bimbang disisih keluarga dan rakan-rakan??bagaimana dengan malumu kepada Allah..? mungkin ada hikmah Allah utuskan dia untuk kamu. Jika tidak kerana kehadiran bayi itu di dalam rahimmu tentu kamu masih berterusan melakukan dosa..tapi sayang,kamu tidak memandang dari sudut itu..bahkan terus melakukan dosa dan kezaliman dengan membuang atau menggugurkannya.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Q.s Al A’raf : 179)

Saya mula terfikir,salah siapa agaknya ya..??

Dari sudut lain pula,saya lihat masyarakat kita sudah ‘open minded’. Kerana itu statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih dari 257,000 kelahiran didaftarkan tanpa nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Dan sekarang setelah 2 tahun,saya pasti bilangannya semakin bertambah!

Kenapa saya berani katakan pasti?kerana di tempat saya sahaja,beberapa kali saya dengar dari orang sekeliling..”eh,anak si A bernikah hujung minggu ni,ko pegi ke? Dia tu dah mengandung….”(tidak perlu saya nyatakan berapa bulan). Tapi bila dilihat majlis walimahnya besar bagai..hem entahlah..orang sekarang dah ‘‘open minded’’. Kemudian dari yang lain pula “eh ada nampak si B tu jalan kat pekan sari, bawak anak dia”.. apabila saya bertanya mak “bila masa dia kawin mak?” “tak kawin pun”.. sedih saya mendengarnya..kerana diantaranya adalah rakan atau orang-orang yang saya kenali mereka di sekolah rendah dahulu.. bukan untuk mengaibkan sesiapa..tapi itulah realitinya dan sebagai peringatan untuk saya dan juga anda agar tidak melakukan perkara serupa.

salah siapa agaknya ya..?

Masyarakat kini yang sudah semakin “open minded” sehinggakan golongan muda tidak lagi malu mempunyai anak luar nikah? Atau ibu bapa yang tidak menyekat pergaulan bebas anak-anak mereka?

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan (yang buruk) yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Q.s. Maryam: 58)
Bagi saya punca semuanya adalah ketiadaan asas AGAMA di dalam diri. Mereka hanya mengenali agamanya berdasarkan catatan di surat beranak dan kad pengenalan. Sembahyang dan puasa jauh sekali. Bila ditanya, jawapannya ibu dan bapanya sendiri tidak sembahyang,bagaimana perlunya mereka melakukannya. Jawapan itu ibu saya dengar sendiri dari mulut kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun. Anak jiran dan diceritakan kembali kepada saya.

Saya bersyukur dan beruntung dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan agama. Kerana itu saya menjadi seperti sekarang. Islam itu cantik.. dari awal lagi islam telah mengajarkan melalui Rasulullah S.A.W cara memilih pasangan hidup hendaklah yang utamanya AGAMA! Diikuti keturunan,harta dan kecantikan.. jika sempurna agamanya,maka selamat dan berbahagialah anda. sekurang-kurangnya banyak perkara tidak baik dapat dielakkan. Sama-samalah kita fikirkan. Wallahua3lam