
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).(Q.s: At-Taubah:24)
SIRI 1
Bismillahirrahmanirrahim…selawat dan salam buat rasul junjungan mulia Muhammad S.A.W,kaum kerabat,para sahabat,alim ulama’,tabi’ tabi’een,serta yang mengikut keseluruhannya.
Entry kali ini sebenarnya agak malu untuk saya terbitkan kerana ianya agak peribadi, tapi kerana satu niat bahawa saya ingin mengajak anda bersama-sama saya melaksanakan misi kembara ini, makanya saya ketepikan perasaan malu. Bercerita melalui pengalaman sendiri, yang mana sedikit sebanyak mungkin ada persamaan dengan anda lebih realistik. Berbanding dari yang hanya melarang tanpa pernah melalui situasinya,agak berbeza dan sukar diterima oleh sesetengah golongan. Alasan mereka..” ahh..dia tak pernah rasa@ alami,boleh la cakap,kalau kena batang hidung sendiri baru lah tau” saya akui, perkara yang melibatkan hati dan perasaan amat kompleks dan sensitif sifatnya. Oleh kerana itu, larangan berupa menjauhi hubungan lelaki dan perempuan ajnabi dipandang sepi dan amat liat untuk kita menyahut terutama bagi golongan yang ‘tahu’. Alasannya “ aku boleh kawal lagi” “aku tahu jaga batas-batasnya” dan beberapa macam alasan lagi. Ya mungkin kita boleh terselamat dari melakukan dosa besar seperti zina perbuatan dengan sebab kita ‘tahu menjaga batas-batasnya’ , Tapi persoalannya mampukah kita menjaga zina hati.??? Manusia itu Allah kurniakan dengan nafsu. Jadi tidak mustahil dalam kita ber’sms’,ber’chatting’ atau ber’calling’ itu kadang-kadang kita ter’rindu’ dengan sms-sms biasa si dia, atau ter’rindu’ dengan ayat-ayat yang digunakan semasa berchatting atau parah lagi ter’rindu’ suaranya ketika di telefon. Nauzubillah.. saya tidak mahu menyebut tentang apa hukum, besar@ kecil dosanya, kerana kita (saya dan anda) adalah dari golongan yang ‘tahu’ .
Aku tahu Cinta (Rabb) Itu ada,
Tapi tak ku temui ia di mana,
Tersirna bak fatamorgana,
Bila kuhampiri ia menghilang jua.
Aku selam ke lubuk hati,
Mengapa ia berlalu pergi..?
Hilang dan muncul silih berganti,
Seolah petanda dari Illahi..
Ku pandang jauh ke dasar qalbu,
Mengharap jawapan segera bertamu,
Lama kunanti baru ketemu,
Inilah dia rupanya kisahku..
Saya mengenali seorang adam 2 tahun lalu. Kami berkawan baik. Secara luaran dia memang baik dan saya percaya di dalamnya juga dia baik. Apa tujuan saya berkawan dengan sang adam? Sejujurnya saya mahu mencari calon peneman hidup. Tapi ini bukanlah bermakna saya akan menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat. Persedian awal cuma. Saya seorang yang setia dalam apa bentuk sekali pun. Jika saya sudah suka pada sesuatu saya akan setia padanya. Sebagai contoh, kasut dan beg . saya tidak punya koleksi yang banyak dalam satu-satu masa.selagi ianya boleh dan selesa di guna,saya akan menggunakan semaksimumnya. Ini bukanlah bermakna saya kedekut,tapi saya tidak mahu membazir dalam membeli kerana saya tahu saya hanya akan menggunakan yang sama sahaja walaupun saya mempunyai pilihan lain. Begitu juga dengan kebanyakan perkara lain dalam hidup saya. Termasuklah dalam hal ‘persahabatan’ dengan lelaki. [saya pernah terbaca,sebenarnya tiada istilah persahabatan antara lelaki dan perempuan]. Saya hanya berkawan baik dengan seorang lelaki sahaja dalam satu-satu masa. Matlamat dari persahabatan ini hanya satu yang mana telah saya nyatakan di atas tadi. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk sekadar bersuka ria dan mencari ramai kenalan dari kalangan kaum adam ini. [ pasti ramai kaum adam yang takutkan komitmen kurang senang membaca penyataan saya ini].
Di mana bermula
Berbalik kepada kisah adam kenalan saya, saya mula mengenali kaum adam [selain mahram] ketika saya berumur 18 tahun. Kesemuanya adalah rakan sepengajian saya,dalam kursus yang sama. Saya amat jarang berbual mesra dengan mereka kerana saya seorang yang pemalu. Dunia remaja & persekolahan saya dikelilingi oleh kaum hawa. Kalau pulang bercuti juga tempat saya hanyalah di rumah. Bagi saya rumah adalah tempat paling selamat buat saya. Saya hanya akan keluar jika ada yang menemani.
Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”
Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”
Perkenalan saya dengan seorang adam bernama S ketika saya berusia 19 tahun. Dia seorang yang baik dan ada pendidikan agama yang sempurna. Saya tidak mengenalinya secara terus. Kami hanya berhubungan melalaui sms dan beberapa kali panggilan telefon. Bagaimana saya begitu percaya kepadanya? S dikenali oleh ramai kawan-kawan lelaki dan perempuan sekelas saya. Bahkan kawan baik S sendiri juga sekelas dengan saya. S pernah bersekolah menengah dengan mereka dan perilaku baik dan kisah hidupnya di akui oleh semua yang mengenalinya. Dia tidak mempunyai ibu dan ayah dan hanya menjaga neneknya yang uzur di kampung. Walau bagaimanapun dia seorang yang bijak dan merupakan pelajar terbaik sehingga melayakkan dia menyambung pengajian dengan mudah.
Jika dahulu hampir-hampir saya fikir S adalah lelaki yang dijodohkan untuk saya sehinggalah dia memilih seorang wanita lain dengan tujuan untuk membimbing wanita tersebut ke pangkal jalan. Walaupun saya agak sedih tapi saya redha kalau itu tujuannya dan semoga Allah mengabulkan niatnya. Saya percaya ada hikmah disebaliknya. Kemudian kami masih berkawan baik dan dia banyak menasihati saya dalam banyak perkara. Kali pertama dan terakhir saya bertemunya adalah di KLIA pada hari saya berangkat ke luar negara.
Adam kedua bernama R yang hanya saya kenali melalui internet. Saya dan kawan-kawan saya mengenali kawan-kawan R secara beramai-ramai. Dia mahu serius tapi saya tak boleh terima kerana beberapa sebab. Saya meneliti beberapa perkara tentangnya termasuklah dengan siapa dia berkawan dan pengetahuan agamanya. Bagi saya tidak ada yang serius melainkan ikatan pernikahan.
Adam ketiga yang saya ceritakan di awal tadi. Telah saya kenali selama 2 tahun. Bagi saya tempoh tersebut sudah cukup untuk dia mengenali saya. Dia kenalan rapat dengan teman sekuliah saya sejak 4 tahun dulu. Jadi jika dia masih belum jelas tentang saya seeloknya dia mendapatkan maklumat dari teman-teman saya. Itu lebih baik.
Kini sudah tiba masanya saya menyelesaikan misi saya yang tertangguh sebelum ini. Misi meninggalkan dunia khayalan siapakah ‘adam’ yang ditakdirkan untuk saya. Paling utama, Misi mewujudkan hanya cinta RABB di hati. Dulu misi saya tertangguh kerana saya bimbang bayangan saya hilang dari ingatan sang adam kerana dia punya ramai hawa di sekitarnya. Tapi saya lupa bahawa jodoh itu Allah yang tentukan. Jika dia memang jodoh saya, biarpun kami tidak saling berhubungan, pasti ada jalannya Allah temukan kami suatu hari nanti. Saya lupa semuanya kerana dibayangi ketakutan hilangnya dia yang saya rasakan mampu menjadi imam buat saya nanti. Astaghfirullah.. di mana kebergantungan saya pada Allah?
Dan kerana itu baru saya sedari mengapa saya tidak benar-benar merasai sepenuhnya keagungan cinta RABB di hati saya. Ia timbul dan tenggelam. Pada satu-satu masa,bila saya bersendirian dengan hobi saya( memerhati alam) saya dapat rasa keagungan cinta Rabb itu. Suatu rasa yang sukar digambarkan, ketenangan, sayu,rindu,ta’jub semuanya bercampur dan beralun lembut di hati. Tapi bila terlalai dengan dunia saya,tiada lagi rasa-rasa indah itu. Ya, saya ketawa dengan jenaka teman-teman, kadang sedih,marah, sedikit cemburu atau beberapa emosi lain yang sering berlegar dalam dunia manusia. Tapi untuk apa semua itu? Jika saya dapat rasa perasaan yang lebih indah hasil dari kecintaan sepenuhnya pada Rabb mengapa saya perlu memilih yang lain kan?
Mulai hari ini secara rasmi bermulalah kembali misi saya. Buat adam yang dimaksudkan,saya percaya kamu akan mengerti mengapa saya menjauhkan diri. Perhubungan lelaki dan perempuan ajnabi dengan tiada tujuan yang jelas adalah tidak dibenarkan walaupun dalam istilah persahabatan. Buat anda yang sedang membaca,saya mengajak anda bersama-sama saya menyertai misi kembara ini. Saya tahu ianya bukanlah mudah seperti yang disangka. Pengorbanan hati dan perasaan,nafsu dan keinginan. Kegembiraan,keceriaan dan kebahagiaan sementara yang di rasai tika ini, demi satu janji pada diri, mencari redha Illahi.Saya harapkan doa anda semua mengiringi saya. Semoga saya dan anda semua di beri kekuatan jiwa. Ameen.

“Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
p/s: ketika entry ini di publish, misi saya telah pun bermula seminggu yang lalu..